PETALING JAYA: Penyanyi, Wany Hasrita mengumumkan sudah mengundurkan diri daripada syarikat rakaman FMC Music bermula September.
Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 31, mengambil keputusan itu kerana ingin mencabar diri bergerak secara independen selain lebih mudah memberikan tumpuan kepada keluarga.
“Buat masa ini saya masih cuba menyesuaikan diri. Sebelum ini, pihak FMC telah pun beri kelonggaran untuk saya belajar menguruskan kerjaya secara berdikari sebelum tamat kontrak.
“Jadi, bagi saya okay sahaja dengan keadaan itu. Cuma dari segi kerjaya muzik, mungkin akan ada kolaborasi dengan mana-mana pihak.
“Bila kita sudah berkeluarga, semua tawaran yang diterima saya boleh susun mengikut kesesuaian keadaan dan masa.
“Pengurus saya juga mempunyai keluarga, jadi kami saling memahami antara satu sama lain,” katanya yang kini mengendalikan kerjaya di bawah syarikatnya sendiri, Wany Hasrita Entertainment.
Dalam pada itu, Wany menyatakan keputusannya itu turut mendapat sokongan daripada suami, Mohd Al-Adib Fahmi yang yakin penyanyi Menahan Rindu itu dapat menentukan hala tuju kerjayanya sendiri.
“Suami saya juga ada beri cadangan untuk bergerak sendiri memandangkan saya sudah lama bernaung di bawah syarikat rakaman,” jelasnya.
Ditanyakan adakah ibu kepada seorang anak itu bimbang sekiranya berdepan dengan cabaran selepas bergerak sendiri, Wany bagaimanapun lega apabila mempunyai pasukan yang sangat komited untuk membantunya.
“Pernah terfikir tentang risau membuatkan saya sambung kontrak bersama FMC yang sepatutnya tamat pada tahun 2021. Lagipun sewaktu saya masuk ke dalam industri sudah terus diuruskan oleh FMC, jadi memang tiada keyakinan itu.
“Untuk bergerak sendiri saya memerlukan pasukan yang kukuh untuk menggerakkan saya. Sekarang barulah saya dapat bergerak sendiri bermula 1 September lalu,” katanya.
Wany ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media program realiti, The Chosen One, di sini, baru-baru ini.
Terdahulu, menerusi sebuah hantaran di Instagaram, Wany turut memaklumkan bahawa sudah bersedia untuk bergerak sendiri tanpa diuruskan oleh syarikat rakamannya, FMC Music.
Wany bagaimanapun menyifatkan pengalamannya bernaung selama lapan tahun di syarikat itu sebagai kenangan yang manis. -UTUSAN