Tiada sijil halal bukan makna menu tidak halal

Tiada sijil halal bukan makna menu tidak halal

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar menyampaikan sijil Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) 2024 kepada pelajar sarjana muda syariah, Ally Aiman Anuar yang turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dr. Roslan Said (kanan) dalam majlis yang berlansung di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini, hari ini. UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan mana-mana kedai makan atau minuman yang tiada  sijil halal bukan bermaksud menu disediakan di premis tersebut tidak halal.

Namun, memiliki sijil halal adalah bertujuan untuk meyakinkan restoran atau syarikat-syarikat tersebut  bahawa premis itu telah melalui audit yang dibuat oleh pihak ketiga iaitu Jakim bagi memastikan standard halal sebenar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, semua restoran boleh mengesahkan setiap yang dijual adalah halal.

“Kita mungkin akan kata setiap bahan itu menepati standard halal tetapi siapa yang mahu memberikan pengesahan bahawa ia memang pasti halal?

“Itulah peranan dan pentingnya sijil halal tersebut sebab semua orang boleh ‘claim’ bahawa bahan yang digunakan adalah halal.

“Cuma saya mahu  tekankan di sini bahawa ketiadaan sjil halal tidak bermakna menu yang disediakan itu tidak halal daripada perspektif Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian  selepas Majlis Penyerahan Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini  hari ini. 

Terdahulu, Johnny’s Restaurants dan Black Canyon Malaysia mengakui restoran mereka belum lagi disahkan halal oleh Jakim.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, kedua-dua pengurusan restoran itu berkata, semua bahan yang digunakan diperoleh daripada pembekal yang memiliki sijil halal.

“Kami ingin memberi keyakinan kepada semua pelanggan bahawa semua bahan makanan yang digunakan di restoran kami termasuk ayam, telur, daging dan bahan mentah lain diperoleh daripada pembekal yang memiliki sijil halal. Salinan sijil-sijil ini dapat dirujuk di semua restoran kami, jika perlu.

“Kami juga ingin meyakinkan semua pelanggan bahawa tiada penggunaan sebarang alkohol atau wain dalam pemprosesan atau penyediaan makanan dan minuman kami,” kata kenyataan kedua-dua restoran itu.

Mengulas lanjut,  Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jakim telah berusaha untuk memendekkan tempoh pemilikan sijil halal. 

“Dahulu untuk mendapatkan sijil halal mengambil masa lebih 90 hari. Sekarang, Jakim berjaya kurangkan tempoh itu kepada 23 hari.

“Kemungkinan akan dikurangkan tempoh itu dengan sistem baharu yang akan diperkenalkan nanti,” katanya.

Oleh itu, beliau mengajak syarikat-syarikat yang belum lagi memohon pensijilan halal untuk mohon sijil itu dengan segera.

“Kos untuk mendapatkan pensijilan halal ini tidak mahal, dalam setahun bayar RM100 sehingga RM200 sahaja. 

“Oleh itu, saya menganjurkan kepada masyarakat islam khususnya untuk memastikan apabila pergi ke restoran yang mempunyai tanda halal agar lebih yakin.

“Itu semuanya ditengok. Ini dikatakan sebagai halalan toyyoiban, maknanya halal lagi baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN