Tiada pertindihan fungsi, kementerian perladangan okay badan berkanun dikurangkan - Utusan Malaysia

Tiada pertindihan fungsi, kementerian perladangan okay badan berkanun dikurangkan

JOHARI Abdul Ghani bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ekzema Sedunia 2024 di Hospital Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi tidak mempunyai isu pertindihan bidang kuasa dalam badan berkanun sehingga ke tahap mengurangkan dan menyusun semula agensi kerajaan di bawahnya.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagaimanapun tidak menganggap strategi kerajaan ke arah mengurangkan jumlah badan berkanun sebagai masalah asalkan masih memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Katanya, terdapat sebahagian daripada agensi kerajaan di bawah kementerian perladangan menyaksikan peranannya mengecil yang mewajarkan alasan agensi itu disatukan.

Pun begitu, Johari tidak menyebut badan berkanun secara khusus.

“Kementerian tiada pertindihan fungsi, cuma ada peranan agensi yang bertambah kecil contohnya daripada pertanian yang kerajaan lakukan sudah mengecil.

“Maka, kementerian rasa mungkin sebahagian daripadanya boleh disatukan, jadi di dalam agensi ini nanti akan ada yang menguruskan koko, kenaf dan lain-lain.

“Jadi, kementerian tiada masalah yang penting agensi ini bermanfaat kepada kerajaan untuk menerima kesan daripada penglibatan agensi ini kepada seluruh rantaian ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Ekzema Sedunia 2024 di Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau hadir ke program itu atas kapasitinya sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa.

Pada 4 September lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan kerajaan mengurangkan jumlah badan berkanun berkuat kuasa serta-merta bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara dengan penubuhan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan.

Katanya, langkah itu sebahagian daripada reforma­si perkhidmatan awam dan badan berkanun termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Katanya, jumlah badan berkanun terlalu banyak, malah bertindih dan menjadi punca berlaku perbelanjaan tidak terkawal.

Antaranya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), FGV Holdings Berhad, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah, Lembaga Tabung Haji, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Koridor Wilayah Sabah, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Pada 5 September lalu, Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, tidak semua badan berkanun perlu disusun semula atau dihapus secara serentak kerana dikhuatiri boleh menjejaskan fungsi dan penyampaian perkhidmatan awam.

Katanya, terdapat badan berkanun tertentu yang wajar dikekalkan kerana mempunyai kepentingan dan tidak boleh melalui perubahan drastik.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN