Tiada pensyarah, pelajar di IPT dikesan terlibat GISB - Utusan Malaysia

Tiada pensyarah, pelajar di IPT dikesan terlibat GISB

MUSTAPHA Sakmud (tiga, kiri) melakukan gimik perasmian Hari Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kelantan, Terengganu Dan Pahang Tahun 2024 di Dungun, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menerima laporan pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara terlibat dalam Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings.

Timbalan Menterinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, pihaknya telah melakukan pemantauan di semua IPT untuk mengesan penglibatan golongan berkenaan dalam organisasi tersebut.

Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pensyarah dan pelajar dikesan terjebak dengan GISB.

“Kita sedang membuat pemantauan di kesemua Institusi IPT sama ada terdapat penglibatan atau tidak dan tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi tahun 2024 di sini, hari ini.

Mustapha berkata, pihaknya menasihatkan pensyarah dan pelajar yang mungkin terlibat dengan kumpulan itu mematuhi arahan pihak berkuasa dan majlis agama agar dapat menjalani kehidupan mengikut lunas agama yang benar.

Mengenai program tersebut, Mustapha berkata, program itu menjadi platform dalam meningkatkan kesedaran kepada pelajar tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan supaya dapat dipraktikkan ketika di alam pekerjaan.

“Kesedaran ini perlu dipraktikkan lebih awal supaya ketika berada di gelanggang sebenar pekerjaan nanti, mereka (pelajar) telah terbiasa dan sekaligus dapat mencegah daripada kemalangan dalam industri.

“Kemalangan kerap berlaku adalah kemalangan industri di tempat kerja dan juga kemalangan dalam perjalanan untuk bekerja. Dua perkara ini perlu diberi kesedaran kepada pelajar,” katanya.

Mustapha berkata, sehingga Jun 2024, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaporkan sebanyak 41,278 kemalangan berkaitan kerja dan daripada jumlah itu, sebanyak 21,503 kes melibatkan kemalangan industri manakala 19,770 kes pula berkaitan perjalanan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya