Tiada pengampunan majikan gagal daftar pekerja asing - Utusan Malaysia

Tiada pengampunan majikan gagal daftar pekerja asing

SHARIFAH Sitti Saleha Habib Yusof bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pejabat Imigresen Sabah di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah akan melaksanakan operasi besar-besaran bagi mengesan majikan yang gagal mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja-pekerja dalam sektor perladangan dan pertanian.

Operasi tersebut akan dilaksanakan selepas proses pendataan yang melibatkan pendaftaran secara digital selesai sepenuhnya. Pendaftaran itu melibatkan lebih 120,000 pekerja warga Indonesia dan Filipina di kedua-dua sektor berkenaan.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sharifah Sitti Saleha Habib Yusof berkata, pada masa ini, kerajaan negeri dalam proses regularisasi bagi mendaftarkan pekerja asing. Sebaik proses pendaftaran secara digital itu selesai, operasi penguatkuasaan akan dilakukan secara serta-merta.

“Maka, semua majikan yang gagal mematuhi syarat atau peraturan imigresen akan dibawa ke pengadilan dan didakwa. Tiada pengampunan selepas itu.

“Kita akan teruskan operasi besar-besaran sebaik sahaja kerajaan negeri memberi signal (petanda) yang mereka telah selesai proses pendataan. Kita sasarkan proses tersebut selesai sebelum akhir Disember tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Imigresen Sabah, hari ini.

Beliau berkata, proses pendataan itu bermula pada 2019 namun tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan beberapa faktor lain termasuk kurang mendapat kerjasama daripada pihak majikan.

Malah, pihak kedutaan Indonesia dan Filipina turut memberi alasan bahawa mereka tidak cukup bekalan untuk mengeluarkan pasport kepada pekerja yang terlibat. Semua pekerja dalam kedua-dua sektor tersebut perlu mempunyai dokumen perjalanan atau pasport terlebih dahulu sebelum PLKS dikeluarkan.

Berdasarkan rekod pada 2019, terdapat 123, 575 orang pekerja warga Indonesia dan Filipina dalam sektor perladangan dan pertanian. Daripada jumlah itu, masih terdapat 26,925 pekerja yang belum tampil ke hadapan untuk memohon PLKS. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN