Tiada pendapatan tetap punca dilema pekerja gig - Utusan Malaysia

Tiada pendapatan tetap punca dilema pekerja gig

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pendapatan tidak tetap di dalam industri adalah punca utama pekerja ekonomi gig (e-hailing dan p-hailing) di negara ini menghadapi dilema besar dalam mencari keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi.

Disebabkan ketiadaan pendapatan tetap dalam pekerjaan itu, pekerja gig sukar mengambil cuti atau masa rehat menyebabkan kebanyakan mereka bekerja tanpa henti untuk memenuhi keperluan harian sekali gus menjejaskan keseimbangan kehidupan dan pekerjaan.

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia, Jose Rizal berkata, pendapatan pemandu e-hailing dan p-hailing bergantung kepada jumlah perjalanan atau penghantaran yang mereka selesaikan setiap hari. 

Katanya, ketidakpastian dalam bilangan penumpang atau pesanan, terutama pada masa-masa tertentu, menyebabkan kesulitan dalam merancang kewangan mereka. 

“Ramai pemandu terpaksa bekerja berjam-jam untuk mencapai sasaran pendapatan yang memadai. 

“Jam kerja yang panjang ini sering menyebabkan keletihan, kurang tidur, dan tekanan mental, menjadikannya sukar untuk mencari masa berkualiti bersama keluarga atau untuk berehat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan insurans menambah beban kewangan yang perlu ditanggung oleh pemandu. 

Jelasnya lagi, walaupun mereka bekerja lebih masa, sebahagian besar pendapatan terpaksa disalurkan untuk menanggung kos-kos ini. 

“Hal sedemikian diparahkan lagi dengan tekanan dari platform dan pelanggan di mana platform e-hailing dan p-hailing yang sering mengubah syarat pembayaran atau komisen, selain daripada berhadapan dengan pelanggan yang mungkin tidak menghargai usaha mereka. 

“Ini boleh menyebabkan ketidakpuasan dan tekanan tambahan, selain mengakibatkan keletihan fizikal serta tekanan mental terhadap pemandu yang mungkin berisiko terlibat dalam kemalangan jalan raya kerana keletihan dan tiada sokongan kesihatan memadai untuk menjaga kesejahteraan mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Jose berkata, pada masa ini, tiada jaminan pekerjaan tetap kepada pemandu kerana komuniti itu masih lagi belum diperuntukkan taraf di dalam undang-undang Malaysia. 

“Perlindungan keselamatan sosial terhadap pemandu ehailing dan phailing di Malaysia masih banyak ruang untuk diperbaiki dan ditambah baik seperti caruman KWSP (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja), Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) atau insurans perubatan. 

“Ini demi menjamin kelestarian komuniti ini dan industri serta menjamin masa depan, terutama dari segi kesihatan, keselamatan perkhidmatan dan jaminan kewangan untuk masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN