Tiada pelajar Malaysia berdaftar lanjut pengajian di Lubnan

Tiada pelajar Malaysia berdaftar lanjut pengajian di Lubnan – Zambry

ZAMBRY Abd. Kadir berucap pada In Person with Doc. Zam: ‘Tips & Tricks for Freshies’ Sempena Minggu Apresiasi Watan (MAW) Sesi 2024/2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir mengesahkan tiada pelajar Malaysia yang berdaftar melanjutkan pelajaran di Lubnan.

Namun, beliau berkata, pihaknya masih mendapatkan maklumat secara rasmi mengenai pelajar yang melanjutkan pelajaran secara tidak berdaftar di sana.

“Berdasarkan laporan daripada EMS, tiada pelajar Malaysia di Lubnan melainkan mereka tidak berdaftar.

“Walau bagaimanapun, pelbagai langkah akan dibuat oleh Wisma Putra untuk memastikan rakyat Malaysia sama ada mereka pelajar secara tidak rasmi melalui madrasah ataupun sistem peresekolah di sana.

“Saya percaya Wisma Putra akan mengambil langkah pantas bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir program In Person with Doc. Zam: ‘Tips & Tricks for Freshies’ Sempena Minggu Apresiasi Watan (MAW) Sesi 2024/2025 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Terdahulu dilaporkan, keadaan di Lubnan yang diserang Israel ketika ini sangat tegang dan rakyat Malaysia digesa segera meninggalkan negara itu.

Perkara tersebut disahkan Duta Besar Malaysia, Azri Mat Yacob yang dihubungi semalam bagi mendapatkan gambaran perkembangan terkini di Lubnan.

“Berdasarkan pemerhatian saya sendiri dan Kedutaan Besar di ibu kota Beirut, memang didapati keadaan negara ini masih tegang ekoran serangan berte­rusan Israel,” katanya.

Beliau merujuk konflik susulan operasi ketenteraan rejim Tel Aviv yang mengakibatkan ramai orang awam maut di selatan Lubnan yang bersempadan dengan Israel minggu lepas.

Pihak Hezbollah yang pro-Iran melancarkan ratusan bedilan roket dan dron ke Haifa, bandar di utara Israel kelmarin namun tiada kecederaan jiwa dilaporkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN