Tiada laporan salah laku GISBH di Melaka

Tiada laporan salah laku GISBH di Melaka

AB. RAUF Yusoh (empast dari kanan) bersama wakil Surau Jumaat Ar-Raudhah, Taman Paya Rumput Perdana yang menerima Anugerah Khas Maulidur Rasul, Pengurusan dan Pentadbiran Surau Kariah/Taman Terbaik pada Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan ajaran sesat yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services & Business Holdings (GISBH) yang terdapat di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, walaupun belum menerima sebarang laporan namun JAIM diarahkan untuk memantau sebarang aktiviti GISBH.

Menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang sedang memperincikan dapatan-dapatan daripada kajian mereka berkaitan GISBH di seluruh negara.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka dan sedia memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk melakukan siasatan jika terdapat laporan berkaitan.

“Setakat ini kita belum menerima sebarang laporan berbanding dengan negeri-negeri lain walaupun bagaimanapun kerajaan negeri tidak akan berkompromi sekiranya ada unsur-unsur yang melanggar akidah dan hukum syarak yang perlu kita beri perhatian.

“Di pihak kerajaan negeri kita tidak menghalang sekiranya ada perkara-perkara yang perlu dilihat untuk dikaji dan diberi cadangan untuk diambil tindakan atau sebaliknya,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul, Datuk Rahmad Mariman dan Mufti Melaka, Datuk Abdul Halim Tawil.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan yang akan dilakukan terhadap GISBH di negeri ini.

PANTAUAN

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, kerajaan negeri memantau sebarang aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini berdasarkan laporan yang yang diterima oleh JAIM.

“Sekiranya aktiviti tersebut tidak ikut tatacara atau melanggar hukum syarak dan aqidah, itu kita minta JAIM dan Mufti untuk keluarkan fatwa,” ujarnya.

Sebelum ini akhbar melaporkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dalam Op Global dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 11 September lalu.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN