Tiada laporan pensyarah, pelajar IPT terlibat GISBH

Tiada laporan pensyarah, pelajar IPT terlibat GISBH

MUSTAPHA Sakmud (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian Hari Kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kelantan, Terengganu dan Pahang Tahun 2024 di Dungun, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak menerima laporan pensyarah dan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara terlibat dalam orga­nisasi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

Timbalan Menterinya, ­Datuk Mustapha Sakmud berkata, pi­haknya telah melakukan pemantauan di semua IPT untuk mengesan penglibatan golo­ngan berkenaan dalam organisasi ter­sebut.

Katanya, tindakan tegas diambil sekiranya terdapat pensyarah dan pelajar dikesan terjebak de­ngan GISBH.

“Kita sedang membuat pemantauan di kesemua Institusi IPT sama ada terdapat penglibatan atau tidak dan tindakan tegas diambil sekiranya terdapat mereka yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kesedaran Ke­selamatan dan Kesihatan Pekerjaan Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi tahun 2024 di sini, semalam.

Mustapha menasihatkan pensyarah dan pelajar yang mungkin terlibat dengan kumpulan itu mematuhi arahan pihak berkuasa dan majlis agama agar dapat menjalani kehidupan mengikut lunas agama yang benar.

Berhubung program tersebut, beliau berkata, ia menjadi platform dalam meningkatkan ke­sedaran kepada pelajar tentang aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan supaya dapat dipraktikkan ketika di alam kerjaya.

“Kesedaran ini perlu dipraktikkan lebih awal supaya ketika berada di gelanggang sebenar pekerjaan nanti, mereka (pelajar) telah terbiasa dan sekali gus dapat mencegah daripada kemalangan dalam industri.

“Kemalangan kerap berlaku adalah kemalangan industri di tempat kerja dan juga kemalangan dalam perjalanan untuk bekerja. Dua perkara ini perlu diberi kesedaran kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata, sehingga Jun 2024, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaporkan sebanyak 41,278 kemalangan berkaitan kerja dan daripada jumlah itu, sebanyak 21,503 kes melibatkan kemalangan industri manakala 19,770 kes pula berkaitan perjalanan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN