Tiada keperluan adakan perbincangan setiap siasatan polis dengan GISBH - KPN

Tiada keperluan adakan perbincangan setiap siasatan polis dengan GISBH – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menyelar kenyataan Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang mempersoalkan tiada perbincangan dilakukan polis susulan serbuan mereka pada 11 September lalu.

Razarudin menegaskan, tiada keperluan untuk pihak berkuasa mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak bagi siasatan sesuatu kes yang disiasat termasuk membabitkan kes melibatkan mereka.

Beliau berkata, ia memang prosedur siasatan dalam mengumpul bukti supaya siasatan dapat dilengkapkan seterusnya dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara.

“Adakah kalau kita (polis) menyiasat dan kita nak bincang, bagaimana pula dengan bukti kita?

“Kalau macam itu sebagai contoh rumah disamun dan kita kenal pasti penjenayah, adakah perlu saya bincang dengan penjenayah itu? Adakah itu tindakannya?” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, tiada perbincangan akan diadakan berikutan siasatan dijalankan menjurus kepada Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Namun, beliau memberi keyakinan bahawa siasatan dijalankan secara telus dan adil kepada semua pihak.

“Selain PDRM, siasatan turut dilakukan agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ia bagi memastikan siasatan adalah menyeluruh daripada pelbagai sudut termasuk kesalahan mengikut Akta Pendidikan dan Akta Pusat Jagaan,” jelasnya. – UTUSAN

CAPTION
RAZARUDIN HUSAIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN