Tiada kartel pembekalan baja diuruskan Nafas

Tiada kartel pembekalan baja diuruskan Nafas

ZAMRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak wujud istilah kartel atau monopoli baja dalam pembekalan baja yang diuruskan oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas).

Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob berkata, pembekalan baja dibuat melalui rantaian Pertubuhan Peladang Negeri dan Pertubuhan Peladang Kawasan yang membuat pesanan pembekalan.

Katanya, ia seterusnya baja yang dibekalkan Nafas akan dihantar kepada pesawah berdaftar sebagai ahli Peladang.

Beliau menegaskan, Nafas yang beroperasi selama 52 tahun tidak beroperasi atas kepentingan individu atau pihak tertentu sebalik memastikan keuntungan diagihkan semula kepada 280 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) untuk manfaat komuniti peladang.

“Nafas memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan para pesawah dan peladang terpelihara, di samping menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Nafas selain itu menerusi Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) telah meningkatkan simpanan stok baja padi sebanyak 30,000 tan metrik dan menambah baik proses penghantaran baja mengikut jadual pembekalan yang ditetapkan.

Beliau berkata, Nafas juga aktif menjalankan pelbagai penyelidikan dan pembangunan bagi memperbaiki kualiti baja serta bekerjasama dengan Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) bagi meningkatkan hasil tanaman padi berkualiti.

“Selain itu, Nafas sentiasa memastikan pesawah mendapat akses kepada pengetahuan terkini dalam bidang pertanian melalui program seperti pemindahan teknologi (TOT) yang dilaksanakan bagi membekalkan pesawah dengan ilmu pembajaan, kesihatan tanaman serta amalan pertanian yang lebih berkesan,” kataya.

Inisiatif itu katanya adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Nafas dalam menyokong kemajuan sektor pertanian negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN