`Tiada bau pelik dari rumah ditemukan rangka pesara’ -  Penduduk

`Tiada bau pelik dari rumah ditemukan rangka pesara’ –  Penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Teka-teki ‘kehilangan’ seorang warga emas yang kali terakhir dilihat jiran beberapa tahun lalu di sebuah pangsapuri di Kepong, di sini, terjawab apabila rangkanya ditemukan terbaring dalam rumahnya, Khamis lalu. 

Seorang penduduk dikenali sebagai Nurina, 37 berkata, lelaki berusia 74 tahun itu dikenali penduduk kawasan itu kerana dia kerap ke surau untuk solat berjemaah dan mengajar kanak-kanak mengaji.

“Saya selalu lalu depan rumah arwah untuk hantar anak ke rumah pengasuh, tetapi untuk beberapa tahun ini tidak melihatnya dan tidak pernah pula bau yang pelik-pelik.

“Mungkin asbab amalan dia, aibnya dilindungi atas amalan yang sering dibuat sewaktu ada di dunia ini,” katanya ketika ditemui di kediaman tersebut.

Dia yang masih terkejut dengan penemuan rangka manusia  itu berkata, arwah merupakan seorang yang pendiam kerana jarang bertegur setiap kali terserempak di hadapan rumahnya.

Sementara itu, Exco Keselamatan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Mutiara Magna, Ab Razak Isa berkata, mayat lelaki itu ditemukan selepas dimaklumkan anaknya bahawa sudah lama tidak bertemu dengan bapanya.

Katanya, pihak JMB mengambil tindakan memecahkan pintu rumah tersebut sebelum menemukan rangka manusia terbaring di ruang tamu rumah.

“Saya ditugaskan untuk pecah pintu itu dibantu anak arwah. Sebaik  masuk ke dalam rumah memang nampak bersepah dan lebih terkejut ada satu rangka badan manusia terbaring.

“Rumah pada waktu itu lampu terbuka, kipas juga  berpusing lagi. Saya tengok sekeliling duit milik arwah masih ada yang diletakkan berhampiran tilamnya, jadi saya rasa tiada unsur jenayah,” katanya. 

Mengulas lanjut, katanya, arwah tidak pernah lewat membuat bayaran yuran penyelenggaraan  sebelum kali terakhir dibuat pada September 2021.

Katanya, dia difahamkan terdapat perselisihan faham antara anak dengan bapanya yang membuatkan mereka tidak duduk sebumbung.

“Bagaimanapun, ia tidak bermakna anaknya tidak menghiraukan bapanya, anak lelaki arwah  sering datang ke rumah itu tetapi melihat kipas dan lampu terbuka membuatkan anaknya ingat bapanya dalam keadaan baik.

“Tindakan pecah pintu rumah itu kelmarin dibuat selepas anaknya merasakan tidak sedap hati keadaan depan rumah sudah tidak terurus,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan polis menemukan  rangka mayat seorang lelaki warga emas ditemukan di sebuah pangsapuri di Kepong, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan pada 5 September lalu daripada  seorang pengadu dipercayai anak lelaki kepada warga emas yang ditemui tinggal rangka di sebuah rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN