SIK: Seorang lelaki cedera di kaki akibat ditimpa dahan pokok yang patah ketika dia sedang melakukan kerja-kerja pemangkasan di kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Dusun, di sini petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, mangsa berusia 35 tahun itu didapati tersangkut di celahan pokok berkenaan pada ketinggian 4.57 meter.
“Kaki kirinya cedera setelah dihempap dahan pokok sebesar 0.25 meter yang dipotongnya sewaktu sedang melakukan kerja-kerja pemangkasan pokok.
“Pasukan penyelamat menggunakan tangga dan peralatan khas untuk membantu membawa turun mangsa dari celahan pokok tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi menurunkan mangsa dan peralatan gergaji berantai yang digunakannya mengambil masa hampir 10 minit ketika hujan lebat.
“Mangsa dihantar ke Hospital Sik untuk mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan yang dialaminya,” katanya. – UTUSAN