Terkedu lihat padi musnah ditenggelami banjir - Utusan Malaysia

Terkedu lihat padi musnah ditenggelami banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: “Saya hanya tunggu giliran mesin padi masuk untuk menuai kerana semuanya telah masak tapi segalanya kini musnah dan saya tak tahu macam mana nak bayar duit sewa tanah sawah.

Demikian keluh Murni Majid, 60, yang terkedu melihat kesemua 4.5 hektar sawah padi di Kampung Paya Tok Teh yang disewanya musnah akibat ditenggelami banjir, baru-baru ini.

Menurut wanita berstatus ibu tunggal itu, dia dan rakan-rakan petani yang senasib amat mengharapkan bantuan daripada kerajaan untuk membantu mereka berdepan ujian itu.

“Apabila jadi begini memang sedih sangat kerana saya sendiri ibu tunggal dan perlu tanggung keperluan seorang anak yang masih menuntut di Universiti Malaysia Perlis (Unimap),” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, Murni antara petani yang menerima sumbangan bakul makanan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) disampaikan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar di sini, hari ini.

Seorang lagi petani, Mustafa Dun, 74, dari Kampung Biak berkata, dia sedih melihat bagaimana sawah diusahakannya ditenggelami air dua kali dalam tempoh seminggu.

“Selain sawah, rumah saya turut ditenggelami banjir yang menyebabkan beberapa barangan seperti karpet dan almari rosak. Sedih juga mengenangkan apa yang berlaku kerana sawah terus bertukar menjadi hitam akibat dimasuki air kotor.

“Berapa hasil yang akan saya perolehi dari sawah itu nanti pun tak tahu kerana kami juga perlu bayar upah bajak serta mesin jentuai bagi mengeluarkan padi yang rosak. Harap-harap masih cukup untuk cuci rumah pula,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Arman Majid, 58, menjangkakan padi-padi yang rosak itu mungkin sukar untuk dibeli oleh pengilang berikutan keadaannya setelah dilanda banjir.

“Mungkin padi-padi ini hanya akan menjadi makanan haiwan peliharaan seperti ayam. Kalau terjual pun, harganya pasti akan banyak menyusut setelah penilaian mutu padi dibuat,” katanya.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, terdapat lebih 1,500 hektar kawasan sawah di bawah wilayah LPP terkesan banjir yang melibatkan kerugian RM13.5 juta terhadap 972 petani.

“Angka itu anggaran sahaja dan belum dibanci. Kebanyakan padi itu sudah mencapai umur yang boleh dituai iaitu antara 85 hingga 100 hari kecuali di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Ketil yang usianya baru 14 hari.

“Tinjauan saya sendiri mendapati padi-padi itu kebanyakannya rosak. Ada juga nampak elok tetapi tiada isi kerana air menenggelami sawah. Pesawah dalam dilema kerana perlu bayar upah jentuai bagi memotong padi yang rosak dan apabila sampai ke kilang pula, pasti ada potongan harga. Jadi berapa sangat wang yang akan mereka perolehi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya