TANAH MERAH: Seorang gadis yatim piatu dari Kampung Pelain, Batu Gajah di sini sebak selepas impiannya menyambung pengajian ke Universiti Malaya (UM) menjadi kenyataan hasil sikap murah hati rakyat negara ini.
Nur Fatihah Mohammad, 20, berkata, sejak kisah hidupnya disiarkan Utusan Malaysia, dia banyak menerima bantuan kewangan yang disalurkan terus ke akaun banknya.
“Saya hilang kata-kata melihat sikap murah hati rakyat Malaysia. Tiada apa yang mampu saya zahirkan kecuali ucapan terima kasih. Setakat hari ini (semalam) saya memperoleh RM3,300 hasil sumbangan daripada 15 penderma yang baik hati.
“Alhamdullilah dengan bantuan ini saya dapat menggunakan untuk membayar yuran pengajian ke UM dan akan melapor diri pada 29 September ini,” katanya ditemui Utusan Malaysia di sini, kelmarin.
Nor Fatihah berkata, dia sudah bersedia melanjutkan pengajian ke UM sekali gus memenuhi hasrat arwah ibunya.
Katanya, arwah ibunya mahu dia menjadi seorang guru dan mengubah nasib hidup mereka sekeluarga pada masa depan.
“Sepanjang belajar di UM, adik-adik akan tinggal bersama ibu angkat. Seorang lagi adik saya berusia 19 tahun tinggal dengan bapa saudara yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di rumah arwah ibu di Kampung Kelisar Batu Gajah, Tanah Merah,” ujarnya.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan, Nur Fatihah mungkin terpaksa menolak tawaran menyambung pengajian ke menara gading akibat masalah kewangan.
Ibu kepada Nur Fatihah iaitu Zaiton Mohamad, 48, meninggal dunia pada Julai lalu akibat jangkitan kuman di paru-paru, manakala bapanya enam tahun lalu.
Nur Fatihah kini menumpang kasih dengan keluarga angkat, Nik Siti Rohaizan Nik Hashim, 44, yang merupakan kawan arwah ibunya. – UTUSAN