Teresa tidak boleh dianggap sebagai ‘pengacau’ - Zaid Ibrahim

Teresa tidak boleh dianggap sebagai ‘pengacau’ – Zaid Ibrahim

ZAID IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan polis terhadap Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mengenai isu pensijilan halal tidak wajar kerana beliau hanya menjalankan tugas sebagai wakil rakyat sahaja, menurut bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata, Teresa membangkitkan isu kepentingan awam dan ia merupakan perkara yang serius.

Juster kata beliau, Ahli Parlimen Seputeh itu tidak boleh dilayan seperti ‘pengacau’ dan diketepikan dalam isu pensijilan halal ini.

“Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) mengatakan ia melibatkan 3R (agama, raja dan kaum) tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar yang membangkitkan perkara itu terlebih dahulu.

“Adakah Mohd Na’im akan disiasat? Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) berkata, Teresa menyukarkan keadaan apabila ia mengeluarkan kenyataan pada umum dan bukan secara dalaman. Adakah peraturan sama dikenakan kepada Mohd Na’im,” katanya dalam ciapan di X, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, polis akan mengambil keterangan daripada Teresa berhubung kenyataannya mengenai isu pensijilan halal yang dikatakan membebankan peniaga di negara ini.

Mengulas lanjut, Zaid berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak boleh melintasi batas dalam hal ehwal bukan Islam.

Malah katanya, pemimpin-pemimpin muslim juga tidak seharusnya cepat melatah apabila pemimpin bukan muslim menyuarakan pandangan mengenai cadangan mewajibkan pensijilan halal.

“Kita mesti sentiasa ingat bahawa orang bukan Islam juga mempunyai hak, hak mereka tidak berada di bawah orang lain. Ia berdiri sendiri dan akan dipertahankan oleh mereka.

“Perdana Menteri berkata umat Islam perlu diberi jaminan bahawa makanan yang mereka makan adalah halal. Jika orang muslim tidak rasa selesa, bukankah sepatutnya mereka berusaha mencari restoran lain bagi menjamin makanan itu halal?

“Jika pengendali mengatakan mereka tidak hidangkan daging babi atau alkohol, itu sepatutnya cukup meyakinkan tetapi jika mencari tahap keselesaan yang lain, berjalan dan cari tempat makan yang sesuai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN