Teresa Kok tak faham Islam: PPIM - Utusan Malaysia

Teresa Kok tak faham Islam: PPIM

Datuk Nadzim Johan. Photo UTUSAN & KOSMO!/M.FIRDAUS M.JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mempersoalkan bagaimana seorang wakil rakyat boleh mengeluarkan kenyataan tentang sijil halal yang mengundang kemarahan umat Islam.

Presidennya, Datuk Nadzim Johan sehubungan itu menggesa pihak berkuasa perlu lebih tegas dan bertindak dalam menangani permasalahan tersebut.

“Bagaimana seorang wakil rakyat yang sepatutnya lebih faham hal ini, boleh mengeluarkan kenyataan yang mengundang provokasi kepada agama Islam.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu lebih agresif dalam mendidik seluruh rakyat Malaysia tentang isu halal ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebanyak 28 laporan diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Teresa Kok berhubung isu pensijilan halal yang didakwa Ahli Parlimen Seputeh itu akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada peniaga kecil.

Ia susulan pengumuman Jakim yang sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menjelaskan, beberapa akta ataupun undang-undang perlu dipinda kerana ketika ini tiada undang-undang mewajibkan pengusaha restoran atau syarikat makanan memiliki sijil halal.

Beberapa pihak lain kemudian menempelak Teresa dengan menganggap kenyataan Ahli Parlimen Seputeh pada 8 September itu menggugat keharmonian dan perpaduan negara ini.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Masridzi Sat berkata, cadangan Jakim berhubung sijil halal itu adalah untuk menjaga maslahah. 

“Tidak perlu melatah tanpa sebab dia (Teresa adalah orang kerajaan. Sepatutnya boleh buat perbincangan dalaman terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang menganggu sensitiviti agama,” jelasnya. 

Beliau menambah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu lebih tegas dalam memberi teguran supaya isu ini tidak berulang. 

“Jangan disebabkan perkara ini, sokongan orang Melayu terhadap Kerajaan Perpaduan hilang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN