Teresa Kok keluar kenyataan terburu-buru - Pas

Teresa Kok keluar kenyataan terburu-buru – Pas

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: PAS menyifatkan kenyataan Naib Presiden DAP, Teresa Kok berhubung cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu mewajibkan restoran dan syarikat penyedia makanan memiliki sijil halal adalah bersifat terburu-buru, tidak tertib selain seolah-olah sengaja memberi gambaran salah terhadap Islam dan pentadbirannya di negara ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai ahli Parlimen penyokong kerajaan, Teresa sepatutnya sedar bahawa semua dasar kerajaan harus melalui proses teratur dan panjang termasuk mendapat kelulusan Kabinet yang turut dianggotai DAP sebelum boleh dilaksanakan.

“Oleh kerana cadangan ini masih berada pada peringkat kajian Jakim, adalah lebih munasabah dan sopan sekiranya beliau memanfaatkan saluran dalaman kerajaan sama ada untuk membantah, memberi cadangan balas mahupun mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara ini.

“Sebaliknya, tindakan beliau mengeluarkan kenyataan terbuka telah menimbulkan polemik, ketidaktenteraman dan salah faham awam yang tidak perlu sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Takiyuddin berkata, sebagai ahli politik veteran, Teresa seharusnya sedar bahawa kenyataan itu memberi gambaran yang salah terhadap Islam dan pentadbiran Islam di negara ini khususnya mengenai kedudukan dan kebebasan orang bukan Islam dalam kerangka tersebut.

“Dengan menimbulkan gambaran bahawa pelaksanaan (cadangan) pensijilan halal di restoran dan kedai makan melanggar hak dan kebebasan orang bukan Islam, Teresa turut memberi gambaran seolah-olah pengamalan Islam di negara ini merupakan ‘ancaman’ kepada mereka.

“Ini sudah tentulah suatu gambaran tidak bertanggungjawab, tersasar dan kelihatan bertujuan memecah-belah. Jika diteliti, jelas cadangan Jakim itu hanya berkait dengan orang Islam, iaitu hak mereka untuk menikmati makanan yang disahkan halal dan juga hak untuk tidak diberi gambaran salah mengenainya,” katanya.

Selain itu, Pas turut memperakui hak Teresa menyuarakan pandangan secara bebas, namun beliau juga perlu lebih bertanggungjawab dan jujur, selain memastikan pandangan dan pendapat itu tidak tersasar sehingga menimbulkan polemik dan ketegangan dalam masyarakat.

“Dalam isu ini, Pas percaya Teresa tidak bertindak mengikut pertimbangan yang wajar dan objektif, sebaliknya lebih dipengaruhi oleh emosi dan sentimen untuk tujuan-tujuan politik kepartian dan peribadinya sendiri,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya