‘Teresa, henti keluar kenyataan bebankan kerajaan’ - Fathul Bari - Utusan Malaysia

‘Teresa, henti keluar kenyataan bebankan kerajaan’ – Fathul Bari

FATHUL BARI MAT JAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok perlu berhenti mengeluarkan kenyataan yang membebankan kerajaan khususnya berkaitan isu kaum, agama dan raja (3R).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, Teresa sejak kebelakangan ini sering kali mengeluarkan kenyataan yang telah menyentuh sensitiviti umat Islam termasuk terbaharu berkaitan soal sijil halal.

Katanya, daripada satu sudut perspektif, kenyataan Teresa yang menyatakan cadangan mewajibkan sijil halal akan menambah beban peniaga itu dilihat mempunyai asas, namun beliau seharusnya lebih bijak menggunakan institusi Parlimen dalam perkara ini.

Ujarnya, Teresa sepatutnya bertanyakan mengenai perincian itu di dalam Parlimen bagi mengenalpasti kaedah bersesuaian boleh digunakan khusus untuk mempercepatkan proses permohonan sijil halal tersebut.

“Pada saya, manfaatkan sahaja Parlimen dan dia boleh bertanyakan macam mana kaedah untuk pastikan sijil halal ini dapat dalam tempoh cepat. Cukup-cukuplah keluar kenyataan sebegitu, kalau boleh, fikirlah kenyataan yang tak bebankan kerajaan untuk jawab,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Baru-baru ini, media melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal.

Langkah itu bagi mengecualikan restoran yang menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.

Perkara itu kemudian mendapat maklum balas Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP, yang dilaporkan berkata, cadangan itu hanya menambah beban kepada peniaga dan memalukan negara.

Beberapa pihak lain kemudian menempelak Teresa dengan menganggap kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu menggugat keharmonian dan perpaduan negara ini.

Dalam pada itu, Fathul Bari yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar berkata, Teresa mungkin melihat perkara itu menerusi dua justifikasi iaitu tempoh masa dan aspek kewangan bagi permohonan sijil halal tersebut dalam kalangan peniaga.

“Kalau daripada sudut garis masa permohonan itu, kerajaan sudah mempercepatkannya dalam usaha untuk memudahkan peniaga mendapatkan pensijilan halal.

“Pada saya, dua justifikasi ini boleh selesai, malah dari aspek bebanan kewangan pula, permohonan pensijilan halal peniaga ini mungkin boleh dicadangkan dibuat mengikut saiz perniagaan mereka.

“Contohnya kalau orang itu berniaga pisang goreng, maka proses dia mendapatkan sijil halal itu lebih mudah dan ringan berbanding mereka yang memiliki perniagaan restoran besar,” katanya.

Tambahnya lagi, aspek halal bukan sekadar menekankan kepada penggunaan bahan semata-mata namun, turut melihat kepada konsep halalan toyyiban meliputi proses penyediaan, kebersihan dan sebagainya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN