KUALA TERENGGANU : Terengganu menjadi negeri pertama menggunakan Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang telah dipasang di 32 Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ketika ini.
Sistem tersebut dikawal secara berpusat oleh Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC) selepas dilancarkan secara rasmi bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, S@MPAI merupakan satu bentuk penyampaian maklumat dengan cara yang lebih menarik dan akan dikemas kini secara harian.
“Ia akan mendekatkan jurang antara pencari kerja dengan peluang kerjaya melalui penyampaian maklumat kepada kumpulan sasaran.
“Contohnya, media sosial kita akan menggunakan medium Facebook, TikTok dan Instagram bagi golongan remaja serta aplikasi perbualan melalui group WhatsApps dan Telegram untuk golongan dewasa.
“Selain itu, kita akan menggunakan paparan digital melalui skrin S@MPAI bagi mereka yang berumur dan kurang pendedahan medial sosial,” katanya selepas merasmikan sistem tersebut di Alor Limbat di sini, hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, sebanyak 32 DUN terlibat dalam program Le Tour De’ Grassroots T-HRDC yang melibatkan 1,046 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Pusat Khidmat Masyarakat (PKM).
Menurutnya, melalui program tersebut, sebanyak 31 kumpulan WhatsApp dengan penyertaan lebih 900 penduduk bersama JPKK dan PKM untuk tujuan penyampaian maklumat dengan lebih efektif.
“Ia bagi menjalinkan libat urus PKM, IMITS dan JPKK selaku pemegang taruh kumpulan akar umbi (rakyat) dan memperkenalkan T-HRDC serta agenda pekerjaan negeri Terengganu
“Selain itu, mewujudkan saluran komunikasi agar segala maklumat dapat disampaikan kepada rakyat melalui PKM, IMITS dan JPKK serta mengumpul data pencari kerja sekitar DUN (pendaftaran Rakan THRDC),” katanya. – UTUSAN