Terengganu akan fatwakan GISB sesat - Utusan Malaysia

Terengganu akan fatwakan GISB sesat

MOHAMAD SABRI HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: GISB Holdings (GISB) akan difatwakan sebagai ajaran sesat sekiranya terdapat bukti kukuh yang boleh mengaitkan organisasi tersebut dengan unsur-unsur yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Harun berkata, sebelum mengeluarkan sebarang fatwa, pihaknya akan mengikut prosedur yang ditetapkan dengan penuh teliti dan terperinci.

Menurutnya, proses akan dimulakan dengan muzakarah dan keputusan tersebut akan dibawa ke negeri-negeri untuk difatwakan ajaran tersebut sebagai sesat.

“Biasanya Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) akan putuskan bahawa ajaran tersebut sesat selepas membuat penelitian menyeluruh.

“Proses seterusnya , barulah negeri-negeri (Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu) pula akan mengeluarkan fatwa berkenaan perkara tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, media melaporkan
Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis telah memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan, ajaran yang dibawa juga adalah kesinambungan ajaran al-Arqam yang telah difatwakan sesat.

Beliau memaklumkan pegangan kumpulan GISBH yang mengkultuskan pemimpin atau tokoh-tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara yang ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.

Mengulas lanjut, Mohamad Sabri berkata, Terengganu memandang serius gerakan GISB di negeri itu meskipun tiada sebarang laporan diterima setakat ini.

“Buat masa ini, memang pemantauan dibuat dan tunggu keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam sebelum Terengganu mengeluarkan fatwa ia adalah ajaran sesat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN