Teluk Gong: Tiada kompromi banteras kilang haram di Selangor - Utusan Malaysia

Teluk Gong: Tiada kompromi banteras kilang haram di Selangor

Kilang haram Teluk Gong
AMIRUDIN Shari ditemui pemberita pada program Dialog Belanjawan 2025 di Shah Alam, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak sesekali berkompromi untuk mengambil tindakan tegas ke atas kilang haram dan akan meneruskan usaha membanteras premis tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, isu kewujudan kilang-kilang haram di negeri ini sedang ditangani sepenuhnya dan kerajaan negeri mempunyai data terkini mengenai kewujudan premis sedemikian.

“Alhamdulilah, beberapa masalah pencemaran mutakhir di Selangor melibatkan kilang yang sah dan kita dapat ambil tindakan sepenuhnya.

“Namun, isu kilang haram ini kita akan tangani terus menerus tanpa sebarang kompromi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian sesi dialog Belanjawan Selangor 2025, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini mendedahkan kewujudan puluhan kilang pelupusan sisa pepejal dipercayai beroperasi secara haram di Teluk Gong, Pelabuhan Klang yang menyebabkan air sungai kotor dan berwarna hitam legam.

Keadaan itu menjejaskan kehidupan kira-kira 40,000 penduduk Telok Gong terpaksa menghidu bau busuk setiap hari sejak sejak 10 tahun lalu.

Kewujudan kilang disyaki haram itu didakwa menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan yang tidak melalui proses atau prosedur betul.

Situasi sedemikian mengukuhkan lagi dakwaan bahawa negara ini menjadi ‘pusat pelupusan sampah’ apabila terdapat kes-kes penyeludupan sisa plastik dan elektronik (e-waste) melalui Pelabuhan Klang.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hairan dengan kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan lain ‘menghidu’ operasi puluhan kilang haram kitar semula plastik dan tayar di Te­luk Gong.

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sebelum ini memaklumkan dua daripada tiga pre­mis kilang tayar di kawasan perindustrian didapati beroperasi secara haram.

Sebanyak 18 operasi pemeriksaan dijalankan sepanjang tahun ini di sekitar kawasan tersebut dengan 27 kompaun dikeluarkan kepada pengilang.

Kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred Perindustrian Perniagaan Dan Iklan Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2007.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memberi jaminan akan mengambil tindakan jika wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa terutama melibatkan pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN