Teluk Gong: PDT Klang rekod kes langgar syarat guna tanah - Utusan Malaysia

Teluk Gong: PDT Klang rekod kes langgar syarat guna tanah

Teluk Gong
AMRI Ismail ditemui pada sesi taklimat Satu Tahun Pelaksanaan e-Tanah dekat Kompleks PDT Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kesalahan melanggar syarat nyata guna tanah melibatkan pemilik atau pengoperasi kilang di sekitar Teluk Gong, Pelabuhan Klang di sini, pernah dikesan berlaku sebelum ini.

Pegawai Daerah Klang, Amri Ismail berkata, kawasan itu meliputi tanah pertanian dan perindustrian sama ada milik individu atau kerajaan, namun wujud pemilik yang melanggar syarat mengikut akta yang ditetapkan.

“Sebagai contoh, ada pemilik tanah yang berstatus pertanian namun membangunkan kilang, gudang atau perindustrian.

“Bagi kes itu, kita akan menyerahkan notis supaya hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi proses pemulihan tanah berkenaan. Jika gagal, tindakan sitaan akan dilakukan,” katanya ketika ditemui pada sesi taklimat Satu Tahun Pelaksanaan e-Tanah, hari ini.

Utusan Malaysia sejak Ahad lalu melaporkan kira-kira 40,000 penduduk Telok Gong terpaksa menghidu bau busuk setiap hari sejak sejak 10 tahun lalu susulan wujud puluhan kilang pelupusan sisa pepejal dipercayai beroperasi secara haram yang turut menyebabkan air sungai di sekelilingnya kotor dan berwarna hitam legam.

Keadaan itu akibat kewujudan puluhan kilang disyaki beroperasi secara haram menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan yang tidak melalui proses atau prosedur betul.

Situasi sedemikian mengukuhkan lagi dakwaan bahawa negara ini menjadi ‘pusat pelupusan sampah’ apabila terdapat kes-kes penyeludupan sisa plastik dan elektronik (e-waste) melalui Pelabuhan Klang.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hairan dengan kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan lain ‘menghidu’ operasi puluhan kilang haram kitar semula plastik dan tayar di Te­luk Gong.

Dalam pada itu Amri memaklumkan, pihaknya sentiasa menyertai operasi penguatkuasaan bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memantau perkara
tersebut.

“Perbuatan seumpama itu sememangnya mengurangkan hasil pendapatan negara kerana menggunakan tanah pertanian untuk aktiviti perindustrian.

“Semua pemilik tanah perlu sentiasa mematuhi syarat ditetapkan bagi mengelak dikenakan tindakan termasuk melibatkan kesalahan kacau ganggu dan pencemaran alam sekitar,” ujarnya.

Kelmarin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan mengambil tindakan jika wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa terutama melibatkan pihak berkuasa.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki memaklumkan beliau telah mengarahkan Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus untuk menghantar pegawai penyiasat bagi mendapatkan maklumat berhubung isu tersebut.

Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan pelaksanaan operasi penguatkuasaan dan pemantauan ketat dengan mengenal pasti 23 premis menjalankan aktiviti kitar semula plastik dan kitar semula tayar terpakai di Teluk Gong di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN