Teluk Gong: 23 premis diperiksa, tiga beroperasi secara haram

Teluk Gong: 23 premis diperiksa, tiga beroperasi secara haram

KEDUDUKAN kilang tayar betul-betul bersebelahan sungai disyaki membuang sisa-sisa bahan buangan mengakibatkan air sungai tercemar teruk dan bertukar hitam di Teluk Gong, Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah melaksanakan operasi penguatkuasaan dan pemantauan ketat terhadap premis-premis kitar semula plastik dan tayar terpakai di Teluk Gong Pelabuhan Klang susulan aduan orang awam mengenai pencemaran alam sekitar.

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pihaknya telah mengenal pasti 23 buah premis yang menjalankan aktiviti kitar semula plastik dan kitar semula tayar terpakai di kawasan tersebut di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Berdasarkan jumlah tersebut, tiga premis didapati beroperasi secara haram. Sehingga 15 September, JAS telah melaksanakan pemeriksaan ke atas semua premis melalui program penguatkuasaan tahunan dan Ops Gempur.

“Malah, tindakan tegas turut diambil terhadap premis-premis tersebut termasuk pengeluaran lima notis arahan untuk penambahbaikan terutama dalam pengurusan buangan terjadual dan kawalan pencemaran efluen,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Latiff berkata, lima Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 telah dikenakan ke atas premis-premis yang didapati melanggar undang-undang.

“Satu kertas siasatan juga telah dibuka bagi tujuan pendakwaan di mahkamah terhadap premis yang menyebabkan pencemaran di kawasan tersebut.

“JAS turut menggunakan dron untuk memantau kawasan sekitar dan melaksanakan operasi bersepadu bersama Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) untuk mempertingkatkan penguatkuasaan terhadap premis yang disyaki menyebabkan pencemaran,” jelasnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sejak 10 tahun lalu, kira-kira 40,000 penduduk di Teluk Gong terpaksa menghidu bau busuk, tidak kira siang atau malam setiap hari berikutan wujud puluhan kilang pelupusan sisa pepejal dipercayai beroperasi secara haram yang turut menyebabkan air sungai di sekelilingnya kotor dan berwarna hitam legam.

Selain itu, beliau turut mengingatkan semua pihak industri bahawa tindakan tegas akan dikenakan di bawah AKAS 1974 terhadap mana-mana premis yang mencemarkan alam sekitar.

“Pindaan undang-undang yang berkuatkuasa sejak 7 Julai 2024 telah meningkatkan julat kadar denda kepada antara RM5,000 hingga RM10 juta serta penjara mandatori tidak melebihi lima tahun.

“Kadar kompaun juga telah dinaikkan daripada maksimum RM2,000 kepada tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum kesalahan berkaitan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN