Telok Gong: Tunggu maklum balas JAS - Exco - Utusan Malaysia

Telok Gong: Tunggu maklum balas JAS – Exco

Teluk Gong
JAMALIAH JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menunggu maklum balas daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkaitan isu kawasan Teluk Gong, Pelabuhan Klang yang tercemar selepas menjadi pusat pelupusan sisa industri, plastik dan tayar terpakai berskala besar.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar negeri, Jamaliah Jamaluddin berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara berkenaan.

“Saya masih sedang menunggu maklum balas (laporan) daripada JAS Selangor. Kita akan mengeluarkan kenyataan media nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sesi libat urus pelaksanaan Dasar Pelepasan Sifar (ZDP) Selangor, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sejak 10 tahun lalu, kira-kira 40,000 penduduk di Teluk Gong terpaksa menghidu bau busuk, tidak kira siang atau malam setiap hari berikutan wujud puluhan kilang pelupusan sisa pepejal dipercayai beroperasi secara haram yang turut menyebabkan air sungai di sekelilingnya kotor dan berwarna hitam legam.

Keadaan itu akibat kewujudan puluhan kilang disyaki beroperasi secara haram menjalankan kerja-kerja pemprosesan sisa buangan yang tidak melalui proses atau prosedur betul.

Situasi sedemikian mengukuhkan lagi dakwaan bahawa negara ini menjadi ‘pusat pelupusan sampah’ apabila terdapat kes-kes penyeludupan sisa plastik dan elektronik (e-waste) melalui Pelabuhan Klang.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa hairan dengan kegagalan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan lain ‘menghidu’ operasi puluhan kilang haram kitar semula plastik dan tayar di Te­luk Gong.

Bagaimanapun, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) kelmarin memaklumkan dua daripada tiga pre­mis kilang tayar di kawasan perindustrian didapati beroperasi secara haram.

Sebanyak 18 operasi pemeriksaan dijalankan sepanjang tahun ini di sekitar kawasan tersebut dengan 27 kompaun dikeluarkan kepada pengilang.

Kompaun dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Tred Perindustrian Perniagaan Dan Iklan Majlis Perbandaran Klang (MPK) 2007.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan akan mengambil tindakan jika wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa terutama melibatkan pihak berkuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN