Telegram paling banyak jadi medium penipuan pelaburan

Telegram paling banyak jadi medium penipuan pelaburan

PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, memberikan keterangan mengenai situasi semasa jenayah komersial ketika sesi sidang akhbar mingguan jabatan siasatan jenayah komersial yang diadakan di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, di sini, hari ini. UTUSAN/ILHAM ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aplikasi Telegram medium paling banyak digunakan untuk melakukan  penipuan pelaburan melibatkan 1,346 kes diterima polis  bagi tempoh lapan bulan tahun ini. 

Jumlah itu daripada 16 medium dikesan polis sejak 1 Januari hingga 31 Ogos lalu melibatkan  keseluruhan kes sebanyak 3,863. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam tempoh terbabit, sebanyak 3,863 kes penipuan pelaburan dicatatkan dengan kerugian kira-kira RM483.9 juta.

Katanya, selain Telegram, pihaknya mendapati Facebook dan WhatsApp masing-masing merekodkan 948 dan 873 kes.

“Ia diikuti Instagram (146), bersemuka (96), aplikasi temu janji sosial (61) serta lain-lain (393) termasuk WeChat, laman web dan sebagainya. 

“Hasil analisis mendapati mangsa paling banyak ditipu melibatkan wanita iaitu 2,124 dengan kerugian RM315.3 juta manakala lelaki dengan 1,740 (RM170 juta kerugian),” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK di Jalan Tun Razak di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Ramli berkata, penipuan pelaburan dalam talian mencatatkan jumlah kerugian yang membimbangkan.

Katanya, terbaharu, satu laporan polis telah dibuat pada 4 September lalu oleh seorang lelaki berusia 49 tahun yang mendakwa telah ditipu sebanyak RM4.6 juta oleh sindiket penipuan pelaburan. 

“Menurut pengadu yang juga merupakan seorang pengarah syarikat, dia telah ditawarkan untuk menyertai pelaburan modal perniagaan di sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat pada 7 Disember 2022. 

“Pengadu dijanjikan pulangan sebanyak USD2.9 juta (RM12.54 juta) dalam tempoh setahun sekiranya membuat pelaburan sebanyak USD1 juta (RM4.32 juta).

“Dia turut diyakinkan bahawa syarikat tersebut mempunyai wang jaminan berjumlah USD5 juta (RM21.63 juta) sekiranya mengalami sebarang kerugian dalam pelaburan tersebut,” katanya. 

Jelas Ramli, pengadu terpedaya  dengan tawaran yang diberikan dan memindahkan wang sebanyak USD1 juta (RM4.32 juta) daripada akaun syarikat miliknya ke akaun sebuah syarikat di luar negara. 

Bagaimanapun, tambahnya, sehingga kini pengadu tidak menerima sebarang pulangan sebagaimana yang dijanjikan oleh suspek dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sebagai langkah pencegahan untuk membanteras kes-kes jenayah penipuan dalam talian khususnya penipuan pelaburan,  dicadangkan agar pengendali aplikasi-aplikasi sebegini diberikan kebertanggungjawaban terhadap kandungan yang dimuat naik ke aplikasi milik mereka. 

“Hal ini malahan telah dilaksanakan di luar negara apabila Ketua Pegawai Eksekutif Telegram dituduh oleh Mahkamah di Perancis kerana membenarkan aktiviti jenayah dilakukan melalui aplikasi tersebut. 

“Mungkin telah tiba masanya untuk kita mempraktikkan pendekatan yang sama kerana kebanjiran pelbagai kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya telah menjadi satu ancaman yang membahayakan kepada masyarakat.

“Mereka yang ingin melaburkan wang ke syarikat-syarikat yang kononnya menjalankan aktiviti pelaburan dinasikatkan untuk membayar apa-apa cukai kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri yang mana hasil ini akan memberi manfaat kepada masyarakat  berbanding pelaburan tidak wujud,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN