KUALA LUMPUR: Istana Budaya akan mementaskan semula Teater Muzikal Puteri Hang Li Po (TMPHLP) bagi meraikan sambutan 50 tahun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China di Encore Melaka 3 hingga 6 Oktober ini.
Pementasan kali ini akan memperlihatkan 32 gubahan muzik seperti lagu-lagu nyanyian, tarian dan melodi penceritaan dihidupkan semula dengan nafas baharu yang lebih segar dan sesuai dengan jalan cerita.
Ketua Pengarah IB, Zubaidah Mukhtar berkata, cabaran Istana Budaya dalam mementaskan semula karya agung ini adalah untuk memastikan kualitinya sama seperti dahulu atau lebih bagus daripada itu.
“Cabaran IB dalam mementaskan semula karya agung ini adalah untuk memastikan kualitinya sama seperti dahulu atau lebih bagus daripada itu.
“Namun saya percaya dengan kepakaran tenaga kreatif di IB dengan suntikan terkini, Teater Muzikal Puteri Hang Li Po yang bakal dipentaskan nanti pasti berada pada kelasnya yang tersendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mengulas lanjut, Zubaidah berkata Teater Muzikal ini juga akan menyokong dan merancakkan lagi sambutan kempen Tahun Melawat Melaka 2024.
Persembahan ini juga mempunyai tarikan terbaru iaitu kerusi untuk penonton yang boleh bergerak dan penonton dapat melihat transisi dari satu babak ke babak yang lain.
TMPHLP mengangkat tema cinta dan tanggungjawab, naskah ini adalah sebuah cerita ilustrasi yang diinspirasikan dari rekod sejarah iaitu persahabatan antara Maharaja China dan Kerajaan Melayu Melaka pada abad ke-15.
Artifak-artifak purba era Dinasti Ming dari Ren Fu Collection turut dipamerkan bagi menaikkan lagi nilai artistik seni sekaligus mencapai objektif pementasan ini sebagai ‘cultural exchange’ seiring dengan matlamat utama Kerajaan Malaysia.
Tempahan tiket boleh didapati di setiap platform media sosial IB atau imbas kod QR yang terdapat pada poster hebahan Istana Budaya.
Antara pendukung watak kali ini adalah Dewi Seriestha, Brian Chan Luqman Hafidz . Louisa Chong, Hairi Safwan, Amyza Adnan dan diarahkan oleh Adzwady Saini. – UTUSAN