PETALING JAYA: Pementasan Bangsawan Megat Terawis mengisahkan kehidupan pahlawan Melayu legenda, Megat Terawis, yang berjuang mempertahankan negeri dan maruah Kesultanan Perak.
Pementasan teater ini diarahkan oleh Affix Zulkarnaen Adam, Graduan lulusan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Lakonan dan Pengarah Teater.
Seterusnya, pementasan tersebut bakal berlangsung pada 27hb. hingga 29hb. September ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Teater Bangsawan Megat Terawis dianjurkan oleh Persatuan Teater Malaysia (PTM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama IPG Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) bersama sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Teater ini berkisar tentang kesetiaan Megat Terawis kepada Sultan Shah Alam, seorang raja yang adil dan bijaksana.
Namun, konflik timbul apabila Tengku Bendahara, saudara kepada Sultan, merancang untuk merebut takhta, menyebabkan kekacauan dalam istana.
Paduka Haji, seorang penasihat istana, turut memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan rohani kepada Sultan telah menerima titah agar menantunya diserahkan kepada Tengku johan Lela pahlawan sebagai isterinya.
Pementasan Bangsawan Megat Terawis ini menampilkan pelakon Faizal Ruhaijat, Wan Hasbur Rahman Wan Yusof, Aisyah Insyirah, Amira Husna dan ramai lagi.
Teater tersebut diterbitkan Sakrani Shamsuddin dan skripnya ditulis oleh Zaiq Lee.
Para pendukung watak antaranya termasuklah Wan Hasbul Rahman, Aisyah Insyirah dan Amira Husna.
Tiket tiket berharga RM10 dan RM20. – UTUSAN