PETALING JAYA: Pementasan Bangsawan Golbadalperi merupakan cerita rekaan mengenai seorang putera yang mendapat mimpi seorang puteri bernama Puteri Golbadalperi.
Pementasan teater berkenaan diarahkan oleh Tukang Sakrani Shamsuddin, pengasas penubuhan Persatuan Teater Malaysia (PTM).
Selanjutnya, pementasan teater tersebut bakal berlangsung pada 13 hingga 15 September di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Teater Bangsawan Golbadalperi diajurkan oleh PTM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG), Asia Pacific Smart School, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), IPG Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) dan Persatuan Penggiat Teater Selangor bersama sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Teater berkenaan mengangkat kisah seorang putera bernama Putera Syamir yang bermimpi tentang seorang puteri bernama Puteri Golbadalperi.
Putera Syamir mengembara ke dalam hutan untuk mencari gerangan puteri bersama Khadam Obit yang lucu.
Mereka tiba di kawasan yang aneh dan Puteri Golbadalperi muncul lalu memberikan geliga sakti kepada Putera Syamir lalu menghilangkan diri.
Anugerah geliga sakti tersebut ialah untuk membantu orang ramai.
Teater Bangsawan Golbadalperi ini menampilkan pelakon Naira Mikayla Ahmad Nabil dan Aiman Afandy Shamsul Fariz. – UTUSAN