ALOR SETAR: Meskipun kediaman masing-masing dimasuki air, lebih 300 jemaah dari beberapa kawasan perumahan di Titi Gajah, di sini tetap menunaikan solat Jumaat di Masjid Tuan Hussein, hari ini.
Malah, bagi memudahkan warga emas, kanak-kanak serta orang kurang upaya (OKU) menunaikan tanggungjawab itu, jawatankuasa masjid dan sukarelawan mengambil inisiatif mengangkut para jemaah menggunakan tangki air bagi meranduk air yang memenuhi pekarangan masjid.
Menurut imam masjid tersebut, Mohd. Adib Omar, 63, idea itu timbul setelah mereka melihat penduduk berhampiran menggunakan ‘pengangkutan’ tersebut untuk sesekali pulang ke rumah mereka dari pusat pemindahan sementara (PPS).
“Walaupun pekarangan masjid digenangi banjir sedalam kira-kira 0.5 meter, namun ruang solat utamanya tidak terjejas kerana kedudukannya yang tinggi. Disebabkan itu, kami memutuskan untuk terus berjemaah di masjid pada setiap waktu selain solat Jumaat hari ini.
“Demi memudahkan jemaah, kami terpanggil untuk meminjam tangki air daripada seorang penduduk setelah melihat dia sering menggunakannya bersama keluarga.
“Alhamdulillah, inisiatif ini dilihat banyak membantu jemaah dengan lebih 300 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat di masjid ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Setiausaha masjid itu, Musa Bari, 63, berkata, pihak masjid pada mulanya bercadang untuk menggunakan perahu kecil namun membatalkan hasrat itu setelah melihat penggunaan tangki air yang lebih sesuai.
“Penggunaan perahu kecil tidak sesuai kerana bahagian bawahnya melengkung menyebabkannya menjadi terseret apabila melalui kawasan cetek. Keadaan itu akan menyebabkan jemaah yang berusia basah kerana perlu juga meranduk air sedikit untuk menaiki sampan.
“Jadi kami ambil keputusan untuk gunakan tangki air ini kerana permukaan bawahnya rata. Kami berharap usaha ini dapat sedikit sebanyak memudahkan urusan mereka untuk menunaikan tuntutan agama,” katanya.
Dalam pada itu seorang jemaah, Mohamad Fauzi Rejab, 67, memuji usaha dilaksanakan pihak masjid yang disifatkannya banyak memudahkan jemaah.
“Saya fikir ini merupakan satu tindakan yang amat prihatin dari pihak masjid. Setidak-tidaknya kami dapat melaksanakan ibadah dengan selesa tanpa basah,” katanya. – UTUSAN