Tanggungjawab tarik minat dekati STEM perlu sinergi semua pihak

Tanggungjawab tarik minat dekati STEM perlu sinergi semua pihak

ZAMBRY Abdul Kadir (tengah) ketika melawat Oppstar Berhad di Pusat Inkubasi Universiti Sains Malaysia (USM), di Bukit Jambul, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Tanggungjawab untuk menarik minat golongan muda terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) tidak hanya terletak pada Kementerian Pendidikan semata-mata.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sebaliknya, usaha itu memerlukan sinergi berterusan daripada semua pihak agar minat dalam bidang itu dapat dibentuk bermula dari peringkat sekolah sehingga ke peringkat universiti.

“Ini adalah salah satu daripada isu utama kita sekarang dan kita sedang bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan minat dalam kalangan pelajar untuk memasuki bidang STEM ini dapat dipertingkatkan.

“Dalam hal ini, kita tidak boleh hanya memberikan tanggungjawab kepada Kementerian Pendidikan semata-mata. Ia mesti ada satu sinergi yang mempunyai kesinambungan.

“Bukan sahaja hanya di Kementerian Pendidikan yang memberikan tumpuan kepada pendidikan di sekolah rendah dan sekolah menengah, tetapi juga di Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memastikan mereka berminat dengan aliran STEM,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Inkubasi Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Terdahulu, Zambry mengadakan lawatan kerja ke SAINS@USM dan Oppstar Berhad untuk melihat lebih dekat perkembangan terkini yang dicapai melalui kerjasama strategik universiti dengan pihak industri.

Menurut Zambry, bidang industri terutamanya yang berkaitan dengan teknologi memerlukan tenaga kerja yang terdiri daripada pelbagai aspek kemahiran, dan permintaan daripada pihak industri juga agak tinggi pada masa ini.

“Kerana itu, kita perlu menyesuaikan permintaan tersebut dengan menyediakan tenaga kerja yang sesuai,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa hubungan tiga hala antara kerajaan, universiti, dan pemain industri perlu terus diperkukuh memandangkan ketiga-tiganya memainkan peranan penting yang dapat memberi impak besar kepada negara.

“Hubungan antara pihak industri, universiti, dan kerajaan ini sangat penting. Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kita membuka ruang kepada para penyelidik untuk menjalankan tugas mereka agar mereka dapat mengeluarkan hasil-hasil yang baik, khususnya dalam dunia semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), dan sebagainya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya