Tanggungjawab pertahan negara dipikul bersama - Sultan Nazrin

Tanggungjawab pertahan negara dipikul secara bersama – Sultan Nazrin

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam ke-42 di UPSI Tanjung Malim hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh dipikul secara bersama.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ini terbukti apabila keanggotaan pasukan tentera di negara ini tidak dibatasi hanya kepada orang Melayu.

Baginda bertitah, penyertaan bukan Melayu dalam angkatan tentera dirintis dengan penubuhan batalion pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron A, Rejimen Kereta Perisai Persekutuan dalam tahun 1952.

Titah baginda, ia diikuti dengan penubuhan unit-unit signal, jurutera, pengangkutan dan polis tentera serta penubuhan Maktab Tentera Persekutuan di Port Dickson yang membuka pengambilan pelajar untuk semua kaum.

“Memahami hakikat komposisi rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum, adalah penting diusahakan tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh dipikul secara bersama.

“Bermakna komposisi angkatan tentera di negara ini tidak dibatasi kepada orang-orang Melayu sahaja,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam ke-42 Tahun 2024 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim selaku Canselor UPSI.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mengenai  Program pegawai kadet Palapes Universiti Awam, Sultan Nazrin bertitah,  melalui jalinan kerjasama angkatan tentera dengan universiti awam merupakan program mempersiapkan sumber manusia terlatih dalam bidang ketenteraan.

Baginda bertitah, pegawai kadet Palapes melayakkan diri mereka diterima menjadi warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Titah baginda, ini selepas mereka berjaya dilatih fiziknya, dicanai mindanya, dibina ketahanannya, serta didedahkan kepada pelbagai latihan, dicabar dengan pelbagai ujian.

“Pegawai kadet Palapes telah melalui proses transformasi fizikal, minda dan spirituil, lalu terbina kekuatan, terbina ketahanan, terbina ketabahan, terbina kecekalan.

“Saudara saudari telah didedahkan dengan dimensi budaya ketenteraan yang mengutamakan disiplin, menjunjung semangat setia, mengamalkan ketaatan ketika melaksana misi.

“Saudara saudari sedia berpanas, sedia berhujan, sedia bertempur, sedia ke medan perang; cekal untuk dititiskan darah, dicederakan tubuh, dileraikan daging, dikorbankan nyawa.

“Setiap keberanian itu dan segala kerelaan itu dilakukan bukan untuk kepentingan diri tetapi dilaksanakan untuk kepentingan mempertahankan negara bangsa,” titah baginda.

Pada upacara tersebut, 1,435 orang pegawai kadet ditauliahkan sebagai Leftenan Muda, Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat, Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN