Taman Tasik Seksyen 7 selamat, tiada buaya - Perhilitan - Utusan Malaysia

Taman Tasik Seksyen 7 selamat, tiada buaya – Perhilitan

Tasik Seksyen 7
ANGGOTA Perhilitan Selangor mengeluarkan perangkap yang dipasang di Taman Tasik Seksyen 7, di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Taman Tasik Seksyen 7 di sini, disahkan selamat dan tiada buaya lain dikesan berada di kawasan taman rekreasi berkenaan setakat ini selepas pemerhatian rapi itu dilakukan bagi mengesan kehadiran reptilia tersebut.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pihaknya menjalankan pemantauan termasuk menggunakan dron, ‘night vision’ dan menyuluh selama tiga hari susulan penemuan seekor buaya tembaga jantan pada 4 September lalu.

“Anggota kita memantau seluruh kawasan tasik itu sehingga waktu malam dan tiada lagi menemui buaya sekali gus disahkan selamat.

“Justeru, kita mengeluarkan perangkap pada Sabtu lalu dan operasi itu ditamatkan sepenuhnya,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Tambahnya, buaya yang berjaya ditangkap telah dilepaskan ke Paya Indah Wetlands, Dengkil dan didapati tiada sebarang penyakit.

“Tiada sebarang kertas siasatan dibuka Perhilitan berkaitan tangkapan berkenaan. Kita tidak menolak kemungkinan sama ada buaya itu sesat ketika banjir atau dibuang oleh pihak tertentu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penemuan hidupan liar supaya menyalurkannya kepada Jabatan Perhilitan menerusi talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan umpan ayam segar dipasang Jabatan Perhilitan di tasik itu selama 12 jam berjaya menjerat seekor buaya tembaga yang diburu sejak 2 September lalu.

Reptilia jantan sepanjang 1.68 meter dengan anggaran berat 15 ke 20 kilogram (kg) itu diselamatkan selepas memasuki perangkap terapung, kira-kira pukul 10.20 malam.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan penutupan kawasan taman itu kepada orang awam pada waktu malam bagi membantu Perhilitan menjalankan pemantauan lanjut.

Minggu lalu, pengunjung taman tasik itu diingatkan tidak mendekati kawasan di tebing tasik susulan tular kemunculan buaya tersebut yang mungkin sesat ketika hujan lebat hingga menyebabkan banjir kilat, baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN