Taman Tasik Seksyen 7 kekal ditutup waktu malam - Utusan Malaysia

Taman Tasik Seksyen 7 kekal ditutup waktu malam

Tasik Seksyen 7 tutup
PETUGAS Perhilitan Selangor memeriksa seekor buaya yang ditangkap dekat Tasik Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kawasan Taman Tasik Seksyen 7 di sini, kekal ditutup kepada orang awam pada waktu malam susulan penangkapan seekor buaya tembaga jantan malam tadi.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim berkata, penutupan itu bagi membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menjalankan pemantauan lanjut.

“Penutupan pada waktu malam itu dijangka mungkin selama dua hari dan ia bergantung kepada pemerhatian Jabatan Perhilitan.

“Jika semuanya baik, ia akan dibuka semula kepada orang awam pada waktu malam,” katanya ketika ditemui, malam tadi.

Terdahulu, reptilia jantan sepanjang 1.68 meter dengan anggaran berat 15 ke 20 kilogram (kg) itu berjaya diselamatkan selepas memasuki perangkap terapung, kira-kira pukul 10.20 malam tadi.

Utusan Malaysia semalam melaporkan kawasan sekitar taman itu ditutup sementara bagi tujuan operasi penangkapan buaya.

Penutupan bermula pukul 8 malam hingga 7 pagi dilakukan atas faktor keselamatan orang awam bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Aktiviti perniagaan seperti gerai makanan masih dibenarkan beroperasi seperti biasa sehingga pukul 7 malam.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pemantauan lanjut itu bertujuan
memastikan tiada buaya lain berada di dalam tasik berkenaan.

“Kami akan memantau keseluruhan kawasan tasik itu menerusi penggunaan dron esok (hari ini).

“Ia mungkin satu atau dua hari dan keseluruhan taman itu akan dibuka seperti biasa sekiranya keadaan disahkan benar-benar selamat dan tiada lagi buaya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN