Taman Tasik Seksyen 7 dibuka, Zipline Shah Alam pula ditutup - Utusan Malaysia

Taman Tasik Seksyen 7 dibuka, Zipline Shah Alam pula ditutup

Tasik Shah Alam
ANGGOTA Perhilitan Selangor mengeluarkan perangkap yang dipasang di Taman Tasik Seksyen 7, di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Taman Tasik Seksyen 7 dibuka sepenuhnya selepas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan kawasan itu selamat daripada sebarang ancaman haiwan berbahaya terutama buaya.

Pengarah Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd. Azhar Mohd. Sharif berkata, perkara itu diumumkan Datuk Bandar, Datuk Mohd. Fauzi Mohd. Yatim semalam yang memaklumkan kawasan rekreasi itu kembali dibuka untuk dikunjungi pada waktu malam berkuat kuasa pukul 8 malam tadi.

“Selepas pemantauan dijalankan oleh pihak Perhilitan Selangor, disahkan tiada buaya lain di lokasi tasik rekreasi tersebut. Justeru, perkara itu dirujuk kepada Datuk Bandar yang kemudian membenarkan Taman Tasik Seksyen 7 kembali dibuka sepanjang siang dan malam,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Taman Tasik Seksyen 7 di sini, disahkan selamat dan tiada buaya lain dikesan berada di kawasan berkenaan setakat ini.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd.Yusoh berkata, pihaknya menjalankan pemantauan selama tiga hari susulan penemuan seekor buaya jantan tembaga pada 4 September lalu.

Sementara itu, MBSA dalam perkembangan berasingan memaklumkan penutupan sukan lasak ‘Zipline’ di Taman Tasik Shah Alam bermula semalam selepas berlaku insiden seorang ibu dan anaknya tersangkut pada jarak kira-kira 50 meter.

“Bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, MBSA mengarahkan pihak pengendali memberhentikan pengoperasian Zipline Shah Alam buat sementara waktu pada 10 September untuk membuat pemeriksaan peralatan dan mengemukakan laporan kepada MBSA.

“Untuk makluman, para pengunjung akan diberikan taklimat keselamatan dan pengendalian sebelum menaiki Zipline Shah Alam. Setiap peralatan termasuk ‘pulley’, ‘harness’, ‘line’ dan ‘stopper’ diperiksa secara berkala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali dan peralatan berkenaan dihantar untuk kalibrasi oleh pembekal peralatan,” jelasnya.

Terdahulu tular video memaparkan seorang wanita dan anaknya tersangkut ketika menaiki zipline di Taman Tasik Shah Alam pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua pengunjung itu diselamatkan kurang 15 minit selepas kejadian dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya