KUALA LUMPUR: Polis mengesan taktik penipuan terbaharu dengan menawarkan diskaun menerusi pakej pembayaran bil Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berdasarkan rekod, sejak Mac hingga Ogos lalu, sejumlah tujuh kes melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM279,289 dikesan pihak polis.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket membuat tawaran diskaun bil TNB melalui Facebook.
“Mangsa ditawarkan kononnya boleh menikmati kadar diskaun antara 20 hingga 30 peratus sebelum mangsa diminta menghubungi nombor yang dipaparkan dan kemudian menghantar gambar bil TNB mereka.
“Setelah itu, sindiket menghantar gambar resit pembayaran kononnya bayaran telah dijelaskan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman di Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Katanya, mangsa kemudian diarahkan untuk membuat pindahan wang (setelah ditolak diskaun) ke akaun bank individu yang diberikan.
“Bagaimanapun, setelah pindahan wang dibuat, mangsa mendapati bil TNB mereka masih tertunggak.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan taktik penipuan sebegini,” katanya.
Menurutnya, orang ramai perlu mendapatkan nasihat serta pengesahan daripada agensi yang berkaitan tentang kesahihan mana-mana tawaran diskaun yang dilihat di media sosial.
Pada 4 September lalu, media melaporkan seorang akauntan mengalami kerugian berjumlah RM164,903 gara-gara menjadi mangsa penipuan diskaun pembayaran bil TNB.
Mangsa sebelum itu menerima maklumat berkaitan tawaran diskaun TNB menerusi panggilan telefon.- UTUSAN