Tahap perpaduan rakyat Malaysia di tahap terbaik - Utusan Malaysia

Tahap perpaduan rakyat Malaysia di tahap terbaik

ZULKIFLI Hashim (tengah) beramah mesra dengan sebahagian peserta Program Jalinan Integrasi Nasional (Penjawat Awam) di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tahap perpaduan rakyat Malaysia berada pada tahap terbaik berdasarkan kepada Indeks Perpaduan Negara (IPNas) meningkat daripada 0.567 kepada 0.629, tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Zulkifli Hashim berkata, peningkatan itu juga membuktikan isu perpecahan di peringkat nasional tidak mempengaruhi rakyat.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan skor tahap perpaduan itu boleh ditingkatkan kepada 0.7 pada 2025 dengan usaha-usaha ke arah itu sedang berjalan di semua peringkat.

“Tidak dinafikan wujud isu perpecahan kaum tetapi di peringkat jabatan dan kementerian, kami sentiasa memberi fokus kepada usaha penyatuan kaum untuk meredakan keadaan agar rakyat tidak terjejas.

“Walaupun skor IPNas itu masih sederhana, ada peningkatan berbanding tahun lalu dan pihak jabatan yakin apa jua isu boleh diselesaikan dengan mekanisme yang ada,” ujar beliau.

Zulkifli berkata demikian selepas Majlis Penutupan Program Jalinan Integrasi Nasional (Penjawat Awam) di Dewan Serbaguna Kampung Losong Atap Zin di sini, hari ini.

Pada program itu, seramai 74 penjawat awam ditempatkan bersama 31 keluarga angkat di sini, selama empat hari bertujuan mempelajari budaya dan mengukuhkan ekosistem perpaduan.

Sementara itu, Zulkifli berkata, sebanyak 442 atau lima peratus daripada 8,438 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) seluruh negara dikesan tidak bergiat aktif disebabkan faktor kepimpinan dan kewangan.

“Arahan telah dikeluarkan agar 10 peratus daripada jumlah itu untuk kembali aktif bagi membolehkan geran tahunan RM6,000 daripada kerajaan dapat disalurkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN