Syed Hussien jangan malukan saya - Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

Syed Hussien jangan malukan saya – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID Hamidi menyampaikan ucapan pada program Santai Bersama Masyarakat India di Pusat Gerakan Barisan Nasional (BN) di Taman Sri Kluang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah supaya tidak `memalukan’ beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Sabtu ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, Syed Hussein perlu memastikan kemenangan BN pada PRK itu, seterusnya berkhidmat dengan baik sebagai wakil rakyat.

Sekiranya Syed Hussein mampu berkhidmat dengan baik, tidak mustahil pucuk pimpinan parti dengan sokongan kerajaan negeri akan mencalonkan beliau semula pada pilihan raya umum akan datang.

“Syed Hussein jangan malukan abang (saya). Kena ingat tangan inilah yang menandatangani watikah (calon PRK DUN Mahkota) atas persetujuan Menteri Besar Johor. Jangan malukan saya dan mesti beri perkhidmatan dengan baik (kepada masyarakat di DUN Mahkota).

“Jika menang pada PRK ini Syed Hussein kena ingat, masyarakat di sini mengharapkan khidmat yang baik daripada anda tanpa mengira kaum, lakukan seperti mana saya lakukan di Bagan Datuk,” katanya berucap pada Program Santai Bersama Masyarakat India di Pusat Gerakan Barisan Nasional di Taman Sri Kluang, di sini malam tadi. 

Program yang turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran itu disertai kira-kira 5,000 orang, khususnya kaum India.

Menurut Zahid, kalau seseorang wakil rakyat itu sayangkan pengundi, sokongan dan undi akan datang kepadanya apabila masyarakat menghargai perkhidmatannya.

“Sekali mereka sayang, sampai bila-bila pun mereka akan taat setia kepada kita, tapi jangan pernah khianati mereka sebab sekali kita khianat, mereka akan ingat dan tidak akan mengundi kita lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan sokongan pengundi India sangat unik apabila mereka setia terhadap pemimpin dan parti yang banyak menabur jasa kepada mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya