Syarikat perladangan harus kongsi kekayaan dengan penduduk setempat - Utusan Malaysia

Syarikat perladangan harus kongsi kekayaan dengan penduduk setempat

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) pada majlis pecah tanah projek membina dan menaik taraf jalan utama Parit 1 - Parit 10 Kampung Sungai Pergam di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK : Syarikat perladangan yang memperoleh keuntungan yang banyak sejak berpuluh tahun lalu harus bersedia berkongsi kekayaan dengan penduduk setempat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di lokasi mereka beroperasi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, syarikat-syarikat tersebut memperolehi laba yang besar ketika penjajahan Inggeris apabila diberi pajakan selama 99 tahun untuk mengusahakan tanah di kawasan luar bandar.

“Jadi, kita minta 20 peratus tanah yang dimiliki itu diberikan kepada rakyat menerusi projek CSR apabila pajakan selama 99 tahun itu tamat (dan mereka mahu menyambung semula pajakan).

“Tanah kerajaan sudah tidak banyak untuk melakukan projek pembangunan, yang banyak sekarang ialah tanah milik estet (syarikat perladangan).

“Orang kampung jangan hanya dipaksa melihat keuntungan estet (dari kampung mereka) dibawa keluar, tetapi (penduduk) dapat juga merasa hasilnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah projek membina dan menaik taraf jalan utama Parit 1 – Parit 10 Kampung Sungai Pergam, di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, sumbangan daripada syarikat perladangan penting dalam memastikan berlaku keseimbangan antara pembangunan bandar dan luar bandar khususnya dalam pembinaan infrastruktur asas.

Bercakap pada sidang media kemudian, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjelaskan setakat ini pihak syarikat perladangan tidak bersifat negatif atau menolak cadangan tersebut.

Ahmad Zahid menjelaskan, permintaan itu yang diputuskan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) awal tahun ini, sedang diteliti dibawah Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau selaku timbalan.

“Jangan disalah tafsir ini termasuk kawasan-kawasan perumahan, tetapi kita tumpukan di kawasan peladangan yang telah menjalankan industri sekian lama terutama yang telah tamat penggunaan tanah itu,” ujar beliau.

Katanya, di peringkat awal KEB telah berjaya membuktikan hasil apabila kira-kira 20 hektar tanah di Bandar Malaysia telah didedikasikan sebagai tanah rizab Melayu.

Beliau memberitahu, ia adalah tanah komersial yang berada di lokasi yang amat strategik, manakala perbincangan dengan kerajaan negeri termasuk Wilayah Persekutuan terus dilakukan supaya tidak berlaku salah tafsir terhadap perkara tersebut.

KEB pada Februari lalu mengesyorkan agar apabila semua tanah-tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian dan lebih 20 ekar bagi plot-plot industri, telah tamat tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan, 20 peratus daripadanya diserahkan semula kepada kerajaan.

Tanah yang diserahkan semula kepada kerajaan itu kemudian akan diurus tadbir oleh Perbadanan Tanah Bumiputera yang ditubuhkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN