Syarikat Korea, Jepun antara pelabur SG4 Syarikat Korea, Jepun antara pelabur SG4

Syarikat Korea, Jepun antara pelabur SG4

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Syarikat Korea Selatan dan Jepun merupakan antara pelabur terawal dalam syarikat SG4 Group Sdn. Bhd. yang ditubuhkan di bawah empat negeri pembangkang iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Pengerusi Majlis Menteri Besar SG4, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, SG4 Group Sdn. Bhd juga dalam perbincangan untuk membawa masuk pelaburan syarikat China.

Kata Menteri Besar Terengganu itu, pembangunan negeri-negeri Pantai Barat kini membuka ruang kepada negeri-negeri SG4 yang masih memiliki zon industri lebih luas dan kos lebih efektif untuk menarik pelaburan-pelaburan berpotensi tinggi.

“Entiti korporat ini dimiliki dengan pegangan hakmilik yang sama rata setiap negeri dan bekerjasama dengan GLC sedia ada.

“Keberhasilan kerjasama SG4 adalah peningkatan kesejahteraan hidup rakyat menerusi pentadbiran yang berintegriti dan cekap, kewangan yang kukuh, sosioekonomi yang mampan, serta pembangunan lestari yang berimpak tinggi.

“Secara langsung, agenda ini akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Kemuncak SG4 di Bangi, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata, entiti korporat SG4 ketika ini masih dalam proses untuk ditentukan daripada segi pengurusan syarikat memandangkan baru ditubuhkan di peringkat awal.

Sementara itu, ditanya sasaran pelaburan yang mahu dicapai menerusi SG4, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan diumumkan apabila pihaknya mencapai satu jumlah pelaburan yang realistik.

Kepada soalan sama ada SG4 akan membuka penyertaan kepada negeri-negeri lain sekiranya ada yang berminat, beliau berkata, buat masa ini tumpuan hanya diberikan untuk memperkasakan empat negeri pembangkang sedia ada terlebih dahulu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN