Syamsul, Ira Kazar sah cerai talak satu - Utusan Malaysia

Syamsul, Ira Kazar sah cerai talak satu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, di sini, hari ini mengesahkan wujud lafaz cerai taklik oleh pengarah dan penerbit, Syamsul Yusof terhadap Ira Kazar ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.

Lafaz cerai taklik merujuk kepada lafaz cerai yang dilafaz oleh suami dengan meletakkan syarat taklik dan jika isteri melanggar syarat tertentu, maka boleh menyebabkan jatuh talak.

Perkara itu disahkan oleh Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib selepas Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu.

Peguam syarie mewakili Ira Kazar, Mohammad Fadhil Abdul Razak berkata, mahkamah mengesahkan berlakunya lafaz taklik sekali gus jatuh talak satu.

“Mahkamah sudah putuskan perceraian sudah berlaku di luar mahkamah di antara pihak Syamsul dan anak guam saya, Ira. Itu saja yang berlaku hari ini.

“Keterangan sudah diambil dan keputusan sudah dibuat hari ini. Terima kasih kepada mahkamah.

“Jadi hari ini sudah jatuh talak satu pada kira-kira jam 10.30 pagi tadi dan kes di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, tidak diteruskan” katanya.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Syamsul, Azmi Mohd Rais berkata Ira melanggar taklik sebanyak lima kali sejak 14 Ogos lalu.

“Alhamdulillah kes perceraian dan lafaz taklik sudah selesai pada hari ini di mana mahkamah mendapati Ira sudah melanggar taklik.

“Ada pelanggaran taklik yang sudah dilakukan Ira dan mahkamah berpuas hati bahawa memang berlakunya lafaz taklik dan mendapat bahawa Ira melanggar taklik tersebut sebanyak lima kali yang mana kali pertama pada 14 Ogos.

“Ia berlaku dalam keadaan rela tanpa paksaan mana-mana pihak. Idah juga bermula pada tarikh yang sama (14 Ogos),” katanya.

Pada 16 Ogos lalu, Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap isterinya, Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.

Terdahulu, Syamsul dan Ira mendirikan rumah tangga pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.

Susulan itu, pelakon Puteri Sarah Liyana pada ketika itu sebagai isteri Syamsul nekad memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN