Syabu 73kg bernilai RM2.35 juta ditemukan dalam SUV - Utusan Malaysia

Syabu 73kg bernilai RM2.35 juta ditemukan dalam SUV

ISMAIL Hashim (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas bernilai RM2.35 juta dalam sidang akhbar di pejabat kastam cawangan Padang Besar, Perlis semalam.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri merampas dadah jenis syabu seberat 73.319 kilogram dianggarkan bernilai RM2.35 juta sewaktu pemeriksaan rutin di laluan import Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP), Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, pada Selasa lalu.

Penemuan tersebut, hasil pemeriksaan pada pukul 8.15 pagi itu yang dilakukan terhadap sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Isuzu MU-X bernombor pendaftaran Thailand yang dipandu seorang lelaki warga Thailand berusia dalam lingkungan 20-an.

Bagaimanapun, ketika pemeriksaan terhadap kenderaan itu, pemandu berkenaan telah mengambil kesempatan melarikan diri dipercayai ke arah sempadan Malaysia.

Pengarah Kastam negeri, Ismail Hashim berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan berkenaan telah menemukan 56 paket teh Cina bertulis ‘Guanyingwang’ disembunyikan dalam ruangan khas bahagian bawah tempat duduk penumpang belakang.

Katanya, selain itu, pemeriksaan lanjut turut membawa kepada penemuan 14 bungkusan hitam yang disorokkan di bahagian ruangan khas lantai tempat duduk penumpang belakang. 

“Sewaktu pegawai bertugas sedang melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan itu, pemandu berkenaan telah mengambil kesempatan bertindak melarikan diri dipercayai ke arah sempadan Malaysia.

“Kejadian itu berlaku begitu pantas di mana sewaktu pegawai bertugas sedang memeriksa bahagian belakang kenderaan itu, pemandunya telah bertindak menghilangkan diri tanpa dikesan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Cawangan Padang Besar di sini, semalam.

Tambah Ismail, berdasarkan siasatan dilakukan dengan kerjasama polis dan Kastam Thailand mendapati kenderaan itu telah keluar masuk ke sempadan negara sebanyak lima kali.

Ujarnya, rampasan berkenaan juga berjaya mematahkan cubaan penyeludupan dadah berkenaan yang dianggarkan boleh digunakan kira-kira lebih 730,000 orang penagih.

“Buat masa ini, kita masih sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Turut dirampas adalah kenderaan SUV tersebut yang dianggarkan bernilai RM70,000,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi tempoh sehingga awal September tahun ini, Kastam merekodkan rampasan dadah bernilai RM3.179 juta berbanding sepanjang tahun lalu sehingga Disember mencatatkan nilai rampasan berjumlah RM1.844 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN