SEPANG: Seorang pembantu kedai warga asing ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun dan rogol seorang nenek berusia 71 tahun di Cyberjaya di sini, awal pagi semalam.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi hari ini.
Wan Kamarul Azran berkata, perintah reman bermula hari ini.
Katanya, perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Wan Kamarul Azran dilaporkan berkata, suspek berusia lingkungan 25 tahun itu didapati melalukan perbuatan berkenaan di sebuah apartmen di Cyberjaya di sini.
“Suspek ditahan kira-kira pukul 12.18 tengah hari semalam bersama beberapa barangan berharga termasuk telefon bimbit milik mangsa.
“Mangsa disamun dan dirogol ketika sedang menunggu lif. Mangsa dibawa ke ruang tangga berhampiran lif sebelum disamun dan dirogol,” katanya.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa menetap bersama anak lelakinya di apartmen berkenaan. – UTUSAN