SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengarahkan semua agensi agama Islam negeri ini supaya bekerjasama dengan polis Kontinjen Selangor dan Bukit Aman bagi menyiasat secara mendalam isu berkaitan Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH).
Baginda bertitah, agensi terlibat seperti Majlis Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan Jabatan Mufti Selangor bersama polis menyiasat bagi memastikan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan kesalahan jenayah dilakukan mereka supaya didakwa di mahkamah.
“Beta kesal dan kecewa dengan perkara itu sudah berlanjutan untuk satu tempoh yang lama dan tiada tindakan berkesan bagi menangani perkara itu.
“Kita perlu menerima hakikat bahawa kelewatan menangani perkara itu menunjukkan kelemahan dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang oleh agensi agama terhadap rumah amal dan sekolah agama Islam berkaitan GISBH dan rangkaiannya sehingga menyebabkan perkara itu menjadi begitu serius dan tidak terkawal,” titahnya, hari ini.
Tegas Sultan Selangor, pelbagai keterangan ditemui menjurus kepada kesalahan-kesalahan jenayah yang disyaki dilakukan seperti penderaan terhadap pelajar, eksploitasi terhadap kanak-kanak, buruh paksa, kesalahan jenayah seksual termasuk lewat dilakukan di beberapa rumah amal termasuk sekolah agama di bawah pengawalan GISBH.
“Semua perbuatan jenayah itu mencemar nama baik dan kesucian Islam. Menurut laporan yang beta terima, kebanyakan rumah amal di bawah GISBH terlibat dalam siasatan sudah lama beroperasi di beberapa buah negeri khususnya di Selangor tanpa pendaftaran seperti mana keperluan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.
“Menyedari isu yang berlaku itu adalah satu perkara yang serius serta melibatkan umat Islam di negara ini. Beta memanggil mengharap Pengerusi MAIS, Pengarah JAIS, Ketua Polis Selangor dan beberapa anggota MAIS dalam satu mesyuarat,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut menyarankan semua rumah amal dan sekolah agama di bawah GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah sivil dan syariah diarah ditutup.
“Beta ingin menasihati bu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak ke sekolah agama atau pusat penjagaan amal agar menyemal latar belakangnya agar tidak terjebak dengan sekolah atau rumah amal tidak berdaftar serta meragukan.
“Ia untuk memastikan anak-anak dididik dan dijaga dengan sewajarnya serta mengelak berlaku pengabaian dan eksploitasi terhadap kanak-kanak. Ingatlah anak-anak adalah suatu amanah daripada Allah SWT dan ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab mencorak masa depan baik untuk mereka,” ujarnya.
Titah baginda lagi, pihak berkuasa agama diingatkan memandang seirus isu-isu berkatain dengan tindakan kumpulan GIBSH terutama melibatkan kanak-kanak dan ajaran sesat yang disyaki diamalkan mereka.
“Tindakan segera dan tegas tanpa kompromi perlu dilakukan di bawah undang-undang terhadap pihak yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak dan amalan yang bertentangan dengan akidah demi memelihara kesucian Islam
“Beta tidak mahu kita diumpamakan sebagai ‘tin kosong’. Kita hendaklah berpegang kepada prinsip walk the talk or putting your words into action. Semua agensi penguatkuasa agama dan polis perlu menjalankan siasatan dengan telus dan memelihara integriti serta amanah dipertanggungjawabkan kepada mereka,” katanya. – UTUSAN