Sultan Selangor titah percepat tindakan isu GISBH

Sultan Selangor titah percepat tindakan isu GISBH

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya proses tindakan berkaitan isu Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH) di­segerakan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu dinyatakan ketika beliau menghadap baginda yang berpandangan, pasukan siasatan perlu lebih cekap meneliti sebarang kesalahan berkaitan isu itu termasuk kes jenayah.

“Pada sesi pertemuan itu, tiada spesifik (isu GISBH) namun baginda meminta supaya tindakan lanjut dipercepat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Esok (hari ini) Dr. Mohammad Fahmi Ngah (Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi) dijangka memberi beberapa penemuan mengenai perkara itu,” katanya selepas merasmikan penutupan Dialog Belanjawan Selangor 2025, semalam.

Difahamkan, Amirudin me­ngadakan pertemuan lebih dua jam dengan Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan di sini.

Pertemuan rutin mingguan itu turut membincangkan beberapa keputusan Majlis Me­syuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkaitan isu dan hala tuju negeri ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri akan menguatkuasakan larangan pengoperasian premis kepada GISBH selepas memperoleh laporan penuh daripada polis dan Jawatankuasa Agama Islam negeri.

“Sudah tentu polis perlu menjalankan siasatan penuh dan menyerahkannya kepada kami (kerajaan negeri) bagi tindakan lanjut tidak membenarkan mereka menggunakan premis di Selangor.

“Namun, ia juga perlu berlandaskan fatwa dan peraturan daripada jawatankuasa agama yang bermesyuarat nanti. Ini bukan kali pertama namun sudah tiga kali selepas Al-Arqam dan Rufaqa’,” ujarnya.

Utusan Malaysia Sabtu lalu melaporkan, Sultan Sharafuddin menitahkan seluruh agensi agama Islam di Selangor be­kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan semua pihak yang terlibat dalam kesalahan jenayah disyaki berkaitan GISBH diheret ke mahkamah.

Selain itu, baginda menitahkan semua rumah amal dan sekolah Islam bawah kawalan syarikat berkenaan serta rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terbabit kegiatan jenayah termasuk syariah di­tutup segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Titah Sultan Sharafuddin, berdasarkan laporan diterima baginda, kebanyakan daripada rumah amal GISBH yang terlibat dalam siasatan telah lama beroperasi di beberapa buah negeri di negara ini khususnya di Selangor tanpa pendaftaran.

Sekolah Islam yang dikenal pasti terlibat perlu dibatalkan pendaftarannya mengikut Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya