PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah disembah maklum dengan surat permohonan maaf daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Menurut Pejabat Sultan Selangor, surat bertarikh 24 September itu antaranya memuatkan permohonan ampun Muhammad Sanusi di atas kenyataannya seperti yang telah dipertuduhkan terhadapnya di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati tuanku.
“Beliau turut mengakui bahawa kenyataan beliau itu telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan beliau benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan tersebut,” katanya di Facebook Selangor Royal Office, hari ini.
Dalam hantaran itu, Pejabat Sultan Selangor turut berkongsikan surat Muhammad Sanusi yang dikirim kepada Sultan Sharafuddin.
Semalam, media melaporkan Muhammad Sanusi sekali lagi mengemukakan permohonan maaf kepada Sultan Sharafuddin.
Ia berhubung kenyataannya yang didakwa mempertikaikan kewibawaan institusi kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri berkenaan.
Itu adalah permohonan maaf kedua oleh Menteri Besar Kedah itu kepada Sultan Selangor selepas kali pertama pada 14 Julai tahun lalu.
Antara lain yang terkandung dalam surat tersebut adalah Muhammad Sanusi sedar bahawa kata-katanya pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara, Gombak telah menimbulkan rasa tidak selesa dan mengguris hati dan perasaan Sultan Sharafuddin.
Beliau juga mengakui tiada niat untuk mempersendakan Sultan Sharafuddin, namun sedar dirinya tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata tidak beradab, menghina dan tidak sopan.
“Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik (Muhammad Sanusi) memohon beribu keampunan kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik.
“Patik berjanji untuk lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan setiap ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi raja-raja Melayu dan institusi raja,” katanya. – UTUSAN