Sultan Nazrin sampaikan anugerah Maulidur Rasul - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin sampaikan anugerah Maulidur Rasul

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyampaikan Anugerah Pegawai Masjid (Tokoh Bilal) kepada Mashudi Bakir pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1446H/2024M di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Maulidur Rasul Negeri Perak Darul Ridzuan bagi tahun 1446H/2024M yang diadakan di Hotel Casuarina Meru di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ke majlis tersebut yang turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah.

Berangkat sama, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, diikuti selawat serta persembahan silat dan penyampaian tujuh penganugerahan yang berkenan disampaikan oleh Sultan Nazrin.

Tujuh anugerah itu ialah Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali), Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah), Anugerah Zaid Bin Thabit (Tokoh Pengamal Media), Anugerah Pertubukan Bukan Kerajaan (NGO), dan Anugerah Pegawai Masjid membabitkan tiga kategori ialau Tokoh Imam, Tokoh Bilal dan Tokoh Siak.

Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) diterima oleh pesara pembantu tadbir kesetiausahaan, Rohani Tandaik, dengan menerima hadiah tunai RM10,000 dan hadiah iringan bayaran Umrah RM9,000 selain plak dan sijil.

Anugerah Ibnu Abbas (Tokoh Pendakwah) diterima oleh Pensyarah Kanan Kolej Komuniti Gerik, Dr. Mohd. Fahmi Abdul Khir yang menerima hadiah wang tunai RM5,000 berserta plak dan sijil.

Ketua Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin, menerima anugerah Tokoh Pengamal Media dengan menerima hadiah tunai RM5,000 berserta plak dan sijil.

Anugerah NGO diterima oleh Persatuan India Muslim Perak dengan menerima tunai RM5,000 berserta plak dan sijil.

Anugerah Tokoh Imam diterima oleh Agus Lokman Sulam yang merupakan Pengetua Maahad Al-Islah. Beliau menerima hadiah tunai RM5,000 berserta plak dan sijil.

Sementera itu, Mashudi Bakir dan Mua’ai Ribut masing-masing menerima anugerah Tokoh Bilal dan Tokoh Siak. Kedua-dua mereka menerima RM5,000 berserta plak dan sijil bagi kategori masing-masing.

Kedua-dua Mashudi dan Mua’ai turut berkerja sebagai penoreh getah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN