Sultan Ibrahim lawat China bermula esok - Utusan Malaysia

Sultan Ibrahim lawat China bermula esok

SULTAN IBRAHIM SULTAN ISKANDAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengadakan lawatan rasmi ke Republik China bagi memenuhi jemputan Presiden, Xi Jinping bermula esok hingga Ahad ini.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kunjungan itu merupakan lawatan negara pertama Sultan Ibrahim ke China sejak menaiki takhta pada 31 Januari lalu.

Katanya, keberangkatan Seri Padukadiiringi oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zain, pegawai kanan Istana Negara dan kementerian serta agensi berkaitan.

“Semasa Lawatan Negara ini, Yang di-Pertuan Agong akan menerima sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing, diikuti dengan pertemuan Bersama Presiden Xi Jinping serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Republik Rakyat China. 

“Yang di-Pertuan Agong turut perkenan menerima menghadap Perdana Menteri Li Qiang,” katanya.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Sultan Ibrahim juga dijadualkan untuk menghadiri upacara penamaan Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong dan sesi ramah mesra bersama diaspora Malaysia semasa lawatan ini.

“Lawatan Negara ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala di antara Malaysia dan China yang telah kian berkembang sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada tahun 2013. 

“Lawatan Negara ini juga memberi peluang yang amat baik bagi kedua-dua pihak untuk menegaskan komitmen bersama dalam memastikan hubungan di antara Malaysia dan China terus kekal dengan pendekatan memandang ke hadapan, dinamik dan makmur demi manfaat rakyat kedua-dua buah negara berdasarkan kepada saling mempercayai dan hormat menghormati,” katanya.

Lawatan ini juga bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. 

Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (USD98.90 bilion) yang menyumbang kepada 17.1 peratus perdagangan global Malaysia. 

Perdagangan terus meningkat pada pertengahan tahun pertama 2024 yang mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM234.09 bilion (USD49.53 bilion) berbanding dengan RM214.87 billion (USD48.21 billion) pada pertengahan tahun pertama 2023. 

Pada suku tahun pertama 2024, sejumlah 24 projek telah diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM3.4 bilion (USD 717.7 juta). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN