Sukan SEA 2027: Perbincangan lanjut selepas Para Sukma di Sarawak

Sukan SEA 2027: Perbincangan lanjut selepas Para Sukma di Sarawak

CHOW Kon Yeow (tengah) dan Daniel Gooi Zi Sen bersama para atlet para Pulau Pinang di Hotel Seri Malaysia Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Sesi perbincangan lanjut mengenai penganjuran Sukan SEA 2027 melibatkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta empat negeri yang terpilih sebagai hos bersama akan diadakan sebaik sahaja kejohanan Para Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen memaklumkan, antara perkara yang akan dibincangkan termasuk perancangan dari segi kategori atau acara yang bakal dilangsungkan di venue-venue yang terpilih dalam temasya itu nanti.

“Semalam, saya sempat berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan (Hannah Yeoh) dan katanya, selepas para Sukma dan sambutan Hari Sukan Negara (HSN), kita akan adakan mesyuarat bagi membincangkan maklumat yang selanjutnya.

“(Selain Pulau Pinang) perbincangan akan turut disertai oleh Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur). Jadi, kita akan tunggu selepas HSN untuk mesyuarat seterusnya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Pulau Pinang ke Temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Kepala Batas, di sini, petang tadi.

Untuk rekod, Pulau Pinang pernah terlibat secara langsung dalam penganjuran temasya Sukan SEA untuk edisi 2001 bersama Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan manakala Sabah dan Sarawak belum pernah berbuat demikian.

Dalam pada itu, Daniel berkata, pihaknya juga belum mengambil sebarang keputusan lanjut berhubung penganjuran acara berprestij itu setakat ini.

“Ia hanya akan dimuktamadkan selepas perbincangan dapat dijalankan bersama semua pihak terlibat,” katanya.

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama temasya dwitahunan itu apabila tiba giliran negara menjadi tuan rumah pada 2027 nanti.

Beliau berkata, keupayaan Sarawak menjadikan Sukma 2024 sebagai antara penganjuran temasya sukan terbaik yang pernah diadakan, membuatkan beliau bersetuju memberikan tanggungjawab sebagai penganjur bersama Sukan Sea 2027 kepada negeri tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya