PETALING JAYA: Selepas beberapa kali kisah percintaannya terputus di tengah jalan, penyanyi Sufian Suhaimi, 32, mengakui dirinya sudah reda dengan ketentuan-Nya terutama dalam soal jodoh.
Sufian berkata, dia yakin situasi itu adalah perkara normal dan boleh berlaku dalam hidup setiap individu.
“Bagi saya inilah kehidupan. Setiap orang ada bahagian masing-masing dan Allah sudah letakkan bahagian saya macam itu. Saya reda sahaja. Saya pun tidak nampak perkara ini menjatuhkan sesiapa.
“Perkara ini juga berlaku pada setiap orang dan pada diri saya juga. Saya juga tidak rasa sebarang tekanan atau kesedihan.
“Mungkin ada, sebagai manusia saya ada perasaan itu. Tetapi untuk jadikan dia sebagai tanda untuk kita berubah, saya anggap ini benda yang saya harus lalui,” katanya.
Sementara itu, Sufian menyatakan dia belum lagi bertemu pengganti bekas kekasihnya, Rania Al-Sadat.
Tambahnya, perkara itu bukan lagi keutamaannya memandangkan dirinya kini terikat dengan komitmen kerja yang sangat banyak.
“Buat masa ini, saya belum bertemu dengan sesiapa lagi. Alhamdulillah, kerja pun banyak sekarang ini, dengan keluarga, perniagaan dan sebagainya.
“Jadi, saya cuba untuk sibukkan diri dengan perkara-perkara yang memberi manfaat kepada orang lain. Insya-Allah, kalau kita beri manfaat kepada orang lain, akan ada manfaat untuk kita akan datang,” jelasnya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Menggenggam Bahagia itu tidak pernah berputus asa dengan kehidupannya.
Malah, Sufian menyerahkan segalanya kepada rezeki dan ketentuan Ilahi.
“Saya tak rasa ini alasan untuk saya putus asa. Nak putus asa untuk apa? Takkan saya hendak putus asa dengan hidup.
“Saya masih melalui kehidupan macam biasa dan masih mencari rezeki lagi sampai saya sudah tiada kudrat.
“Rezeki itu bukan sahaja dari segi wang ringgit. Rezeki yang saya cari itu dalam pelbagai bentuk. Rezeki keluarga, kawan-kawan, pasangan dan kehidupan yang baik.
“Walaupun kita gagal, saya akan cuba lagi. Kalau gagal 10 kali, saya cuba 11 kali. Kalau gagal 100 kali, saya akan cuba 101 kali,” katanya.
Terdahulu, tular sebuah video penyanyi itu menghadiri sebuah bengkel membuat cincin bersama Rania sekali gus menimbulkan dakwaan bahawa cinta mereka berputik kembali.
Sufian bagaimanapun menegaskan video tersebut adalah rakaman lama dan hubungan mereka kini hanya sekadar kawan sahaja.-UTUSAN